Oleh ABD SHUKUR HARUN
Dengan hanya sebulan dua saja lagi menjelang PRU Ke-13, musuh politik PAS dan mereka yang keliru dan berkepentingan berusaha berhempas pulas untuk menggagalkan Tahalluf-Siasi, persepakatan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat.
Pelbagai fitnah, tuduhan dan prasangka dilemparkan kepada Pakatan Rakyat, terutama PAS. Antara tuduhan popular yang ditaburkan oleh Umno/BN bahawa kononnya PAS sudah menyeleweng dari dasarnya dengan menyertai Pakatan Rakyat. Dengan itu mereka mendakwa kononnya DAP akan ‘menelan’ PAS di mana Melayu/Islam akan terancam pelbagai lagi andaian.
Pengundi Melayu, baik di luar bandar mahupun di dalam bandar dihidangkan dengan tuduhan ini dengan harapan supaya pengundi Melayu akan mengundi BN dalam PRU akan datang. Tujuan utamanya supaya PAS akan kalah.
Memang wujud kekeliruan sesetengah pengundi Melayu baik di luar bandar mahupun di dalam bandar sendiri akibat propaganda musuh PAS, terutama golongan generasi lama yang sudah merasa hidup selesa dalam suasana yang melingkungi mereka selama ini. Bagi mereka, jika parti lain yang memerintah, tidak ada jaminan hidup selesa seperti sekarang di mana Melayu/Islam kononnya akan terancam. Kerana itu tidak pedulilah amalan rasuah, penyelewengan, pembaziran kronisme, pilihan raya yang sedemikian rupa, harga barang melambung dan pelbagai lagi.
Golongan yang keliru ini, termasuk bekas-bekas penyokong PAS sendiri – kerana prejudis dan sebab-sebab tertentu yang lain - turut meriuh rendahkan suasana ini dengan menokok tambah dan mereka cipta pelbagai andaian.
Namun pemimpin PAS terus bertegas bahawa PAS akan terus kekal dengan Pakatan Rakyat, justru sudah sangat serasi berada di dalamnya dan mencapai banyak kejayaan di pelbagai bidang, terutama di bidang dakwah, di mana semakin ramai orang bukan Islam memahami politik Islam melalui pelbagai dialog dan interaksi antara pemimpin PAS dengan kalangan bukan Islam.
Ketegasan pemimpin PAS mempertahankan Tahalluf Siasi memperlihatkan keutuhan pimpinan PAS berdepan dengan fitnah yang ditaburkan oleh musuh PAS dan mereka yang berkepentingan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mempertegas dengan berkata bahawa PAS akan terus dengan Pakatan Rakyat dan tidak timbul isu PAS mahu bersendirian.
Beliau menegaskan bahawa perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam mana-mana kerjasama politik baik Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional (BN) sendiri. Namun, katanya, dalam banyak perkara, ikatan PKR, DAP dan PAS sentiasa mencapai kata sepakat dan mempunyai banyak persamaan.
Adapun Tahalluf-siasi bukan hasil rekayasa sembarangan. Ia dibahaskan begitu matang dan dicetuskan sebagai suatu ijtihad jamai’e (Ijtihad kumpulan) oleh PAS. Iaitu mulanya diadakan muzakarah antara ulama dan pemimpin tertinggi PAS dengan ulama di peringkat antarabangsa, khususnya termasuk pemimpin Ikhwanul-Muslimin dan pemimpin ulama sedunia, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.
Mereka semua bersetuju PAS mengadakan ikatan politik dengan parti-parti lain di Malysia untuk kepentingan Islam, memandangkan situasi dan iklim politik di Malaysia memerlukan demikian.
Tahalluf-siasi sendiri adalah keputusan Majlis Syura Ulama dan juga keputusan tiga Muktamar Tahunan PAS. Ini bermakna keputusan ini didukung oleh semua ahli PAS, di mana tidak ada percanggahan pendapat justru hujah-hujah yang tercetus di dalam tiga Muktamar PAS itu sangat kukuh.
Oleh itu, hasil tarbiyah yang diterima oleh pendukung PAS selama ini sangat berkesan menyebabkan para ahli sangat menghormati Majlis Syura Ulama, berpegang kepada keputusan Muktamar PAS dan mentaati keputusan kepimpinan yang dibuat secara kolektif.
Cuma masalahnya, menjelasng PRU akan datang musuh PAS mencipta pelbagai tuduhan, malah fitnah terhadap PAS dengan tujuan supaya PAS meninggalkan Pakatan dan bertanding bersendirian, dengan itu ia akan menggelunsur kalah dalam PRU, atau mendakap kembali Umno untuk bergabung.
Semua ini adalah andaian atau strategi politik pihak musuh, yang demikian mudah kita membacanya dan mujurlah pemimpin PAS segera menyedarinya bahawa ‘kita tidak akan dipatuk ular dua kali dalam lubang yang sama’.
Namun begitu, dengan tinggal beberapa minggu saja lagi menjelang PRU akan datang, PAS perlulah mengadakan segera program menjelajah seluruh negara menerangkan mengapa PAS perlu berada dalam Pakatan Rakyat.
Program penerangan secara intensif dan berstrategi itu mestilah dilakukan sesegera mungkin. Masanya belum terlalu terlewat, iaitu sebelum pilihan raya akan datang. Sewajarnya dipastikan bahawa semua kawasan parlimen dan Dun, walau jauh dipedalaman, dapat sampai sasaran penerangan ini. Tempoh dua bulan ini sangat kritikal, justru diharapkan semua penerangan sampai sebelum hari mengundi.
Sementara itu, dalam ‘tempoh pantang’ menjelang PRU Ke-3 itu pendukung PAS semua peringkat – seperti yang disarankan oleh Dato’ Husyam Musa, ‘jangan membuat kebarang kesilapan kerana harganya terlalu mahal untuk dibayar’. Khususnya jangan membuat kenyataan yang dikira menimbulkan kontrovesi, lebih-lebih lagi isu sensitif, kerana amat sukar dibetulkan. Adapun media tradisional Umno/BN sentiasa memasang ‘perangkap’ untuk memecahbelahkan PAS dan Pakatan Rakyat.
Saya kira ingatan ikhlas dari Dato’ Husyam ini sangat wajar diberi perhatian oleh pendukung PAS semua peringkat, justru semua perhatian – di dalam dan luar negara – aa sedang memerhatikan pertarungan sengit menjelang PRU akan datang.
Pakar-pakar strategi pilihan raya di mana-manapun sentiasa mengingatkan bahawa parti dan pemimpin yang paling kurang membuat kesilapan akan beroleh kemenangan, dibantu oleh faktor lain.
Inilah masanya pendukung PAS semua peringkat bertenang, berfikir secara matang, berstrategi dan mengumpul segala kekuatan justru pertarungan sedang bermula. Dengan izin Allah, Pakatan akan beroleh kemenangan.