Wanita bersekedudukan hingga lahir lima orang anak
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Rahsia seorang wanita yang disyaki bersedudukan sejak lebih 10 tahun hingga melahirkan lima anak akhirnya terbongkar selepas ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Pulau Besar, dekat sini, semalam.
Wanita berusia 31 tahun bersama semua anaknya berusia satu hingga 11 tahun itu ketika ditahan sedang tidur dalam khemah di tepi pantai, sebelum lanjut pemeriksaan mendapati dia bukan sahaja tidak mempunyai kad atau sijil perakuan nikah, malah anak-anaknya tidak mempunyai sijil kelahiran.
Ketua Penguatkuasa JAIM Rahimin Bani berkata, dalam pemeriksaan kira-kira jam 10 pagi, wanita terbabit mendakwa tidak lagi bersuami lalu ke pulau itu dan tinggal bersama anak-anak yang tidak bersekolah sejak kira-kira dua bulan lalu.
"Berdasarkan siasatan awal, wanita berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur itu mengaku bernikah di Thailand pada 2002 bersama seorang lelaki yang didakwa suaminya berusia 37 tahun dan hasil hubungan mereka dikurniakan lima anak.
"Wanita itu mendakwa empat anaknya lahir di Melaka manakala anak ketiganya di Seremban namun dia dan pasangan tidak pernah mendaftarkan kelahiran," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Rahimin berkata, wanita yang berniaga di gerai di pulau itu pernah tinggal bersama pasangan serta anak-anaknya di Masjid Tanah, Alor Gajah.
"Ketika pemeriksaan, wanita itu mengatakan suaminya sudah lari dan tidak tinggal bersama, namun kami percaya pasangannya itu masih berada di pulau berkenaan dan akan menjejakinya itu untuk siasatan lanjut.
"Enam beranak itu kemudian dibawa ke pejabat JAIM sebelum kanak-kanak terbabit diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, serbuan itu adalah hasil makumat orang ramai yang melaporkan mengenai pasangan bersama lima anak tinggal dalam khemah dan operasi bersepadu itu diketuai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
"Kami syak dia dan pasangannya bersedudukan hingga melahirkan anak tidak saf taraf, justeru kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 kerana bersedudukan.
"Bagaimanapun diingatkan kepada pasangan yang bernikah di luar negara supaya memastikan dokumen nikah diperoleh untuk memohon pengesahan pengiktirafan nikah oleh mahkamah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Rahimin berkata, pihaknya sering membuat pemeriksaan di Pulau Besar malah lawatannya ke kawasan itu tiga hari lalu mendapati masih terdapat kegiatan berunsur khurafat pada kubur di situ.
"Pengunjung bukan Islam ditegah melakukan upacara keagamaan dan kepercayaan mereka kawasan kubur orang Islam dan diharapkan orang ramai sentiasa membantu dengan menyalurkan maklumat untuk tindakan lanjut," katanya.
- See more at: http://www2.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitabersekedudukanhinggalahirlimaoranganak/Article/index_html#sthash.blXnqaPz.dpuf