Jabatan Alam Sekitar tiada halangan, ‘pihak’ lain cuba menghalang
“Baru-baru ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya turun meninjau ke Tasik Pedu untuk meninjau lokasi tapak projek dan tiada halangan daripada pihak mereka untuk meneruskan projek tersebut.
ALOR SETAR – Projek Agro Tourism di Charok Genting Bunga, Padang Terap yang bakal menyediakan banyak peluang pekerjaan dan mengubah wajah Tasik Pedu sering mendapat tentangan apabila kebenarannya sering diputar belit oleh pihak yang tidak mahu projek tersebut berjalan dengan lancar.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, apabila selesai dan tiada masalah berkenaan isu tadahan air di Tasik Pedu, maka timbul pula isu bahawa kerajaan negeri rakus menebang balak di kawasan terbabit sedangkan setiap aktiviti pembalakan perlu dapatkan kelulusan daripada Jawatankuasa Hasil Bumi terlebih dahulu.
“Baru-baru ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya turun meninjau ke Tasik Pedu untuk meninjau lokasi tapak projek dan tiada halangan daripada pihak mereka untuk meneruskan projek tersebut.
“Mana-mana aktiviti penebangan balak yang dibuat adalah mengikut peraturan JAS dan Jabatan Hutan Negeri. Malah kajian mendapati tiada aliran air daripada kawasan ladang masuk ke Tasik Pedu kerana kedudukan tasik lebih tinggi dan kawasan penebangan di sebelah bawah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman.
Tambahnya, hutan dibersihkan untuk menanam pokok buah-buahan. Mana mungkin dapat menanam pokok jika tidak menebang pokok yang ada. Masalah sekarang adalah ada pihak yang cuba ‘putar’ isu ini untuk memberi gambaran buruk mengenai kerajaan negeri kepada rakyat.
Kerajaan negeri tidak melakukan penebangan hutan sesuka hati dan tidak pernah mengganggu kawasan tadahan mahupun hutan simpan kekal.
Keseluruhan kawasan penebangan yang dibenarkan adalah seluas 2400 hektar, pihaknya hanya menebang balak seluas 400 hektar di Pedu dan masih ada lagi 2000 hektar di kawasan lain.
“Kedah menjadi mangsa apabila isu penebangan balak secara rakus dikaitkan dengan kerajaan negeri sedangkan Kerajaan Persekutuan tidak pernah membayar pampasan RM100 juta kepada kerajaan negeri untuk kawasan tadahan tersebut.
“Perjanjian pampasan itu dibuat secara lisan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, namun selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri jumlah pampasan diturunkan kepada RM60 juta. Tetapi ketika itu, Dato’ Seri Mahdzir Khalid tidak teruskan tuntutan, maka kita tidak dapat apa-apa bayaran,” tambahnya.
Katanya, pampasan itu dicadangkan untuk bayaran ganti rugi kerana kerajaan negeri tidak dapat mengutip hasil apabila aktiviti penebangan balak tidak dilakukan.
“Kalau mereka masih bising kononnya kita rakus tebang balak, maka sila bayar RM100 juta setahun. Hutan adalah hak kita, kita tebang kawasan hutan simpan sahaja, tak kacau kawasan tadahan air seperti yang didakwa oleh mereka,” katanya dengan tegas.