KUALA LUMPUR - Tidak perlu cepat 'melatah' kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya akan membentangkan Rang Undang-undang bagi meminda akta mahkamah syariah, bukan hudud.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad berkata, pembentangan tersebut dilakukan untuk dimuat dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
"Rang undang-undang yang akan dibentangkan hari ini hanya melibatkan bidang kuasa mahkamah syariah yang dirasakan perlu dipertingkatkan.
"Sekarang peruntukan maksimum mahkamah syariah hanya meliputi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan. Had tersebut perlu dipertingkatkan," katanya kepada Sinar Online hari ini.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam turut menyanggah dakwaan bahawa pindaan rang undang-undang tersebut berupaya membuka ruang kepada pelaksanaan hudud.
"Tidak semestinya. Apa yang dilakukan dan diusulkan hanya untuk menambah had hukuman penjara di mahkamah syariah, itu sahaja," katanya lagi.