Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Saya Ingin Memuji Zahid Hamidi...bila beliau 'sergah' IGP

$
0
0
Shahbudin Husin,


Blog ini jarang memuji pemimpin. Ia lebih kerap mengambil pendekatan menegur, mengkritik dan kadangkala "membelasah" pemimpin.

Tetapi kali ini saya ingin memuji Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang memperlihatkan ketegasan dan tidak bertolak ansur dalam insiden demo anti salib di Taman Medan, Petaling Jaya.

Zahid mengatakan peserta demo itu tetap tertakluk kepada Akta Hasutan 1948 dan tindakan akan diambil terhadap mereka. "Saya tak kira siapa, tindakan harus diambil terhadap mereka," katanya yang juga Naib Presiden UMNO dengan undi tertinggi dua kali berturut-turut.

Dalam masa yang sama, Zahid juga mengesahkan anggota UMNO yang terlibat dalam demo itu akan diambil tindakan disiplin yang sewajarnya.

"Sudah tentu, sudah tentu, sudah tentu...kerana mereka melanggar undang-undang. Dalam UMNO kita mesti hormat agama lain. Mereka harus hadapi akibatnya," katanya lagi.

Ketegasan seperti ini amat ditunggu-tunggu dan setidak-tidaknya mampu membawa kelegaan kepada semua kaum dan agama di negara ini. Beliau telah meletakkan nilai beragama dan menghormati agama lain di tempatnya yang betul, sesuai dengan kedudukan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

Zahid juga telah berjaya mengembalikan keyakinan ramai berikutan pendirian mengecewakan oleh Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sebelumnya yang mengatakan peserta demo anti salib itu tidak melibatkan sebarang unsur hasutan.

Mungkin kerana abangnya, Abdullah Abu Bakar yang mengetuai demo itu, Khalid juga berbelit-belit dalam alasannya dengan berkata, "Ini bukan menyentuh isu agama atau agama Kristian. Ia cuma bantahan masyarakat di sana tentang kedudukan gereja itu".

Ternampak pelik hujah beliau kerana bukankah antara Kristian dan gereja saling kait-mengait? Bagaimana boleh mengatakan bantahan berkaitan gereja tidak ada kena-mengena dengan agama Kristian?

Demo anti salib itu sebenarnya lebih memalukan Islam kerana ia memperlihatkan umat Islam seolah-olah begitu lemah iman hingga takut kepada sesuatu lambang agama lain dan mengabaikan aspek pendidikan, pengajaran, iman, takwa dan sebagainya dalam mengukuhkan keimanan.

Sebelum berdemo, mereka seharusnya bukan saja menyedari mengenai hakikat kebebasan beragama, tetapi juga memahami bahawa wujudnya gereja di kawasan itu tentu saja setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Kalau gereja itu didirikan mengikut undang-undang, apa masalahnya? Kalau gereja itu didirikan secara sah dan mendapat kebenaran pihak berkuasa, maka meletakkan lambang salib tentulah juga tidak ada salahnya?

Berbeza dengan tindakan terhadap pihak lain yang terlibat dengan demo di mana ada antara mereka ditangkap pada waktu tengah malam, dibiarkan bermalam di lokap dan sebagainya, sebaliknya dalam kes ini Abdullah atau dipanggil "Lang" oleh Khalid, hanya diambil keterangannya melalui panggilan telefon saja.

Nampaknya, Ketua Polis Negara yang terkenal dengan pendekatan menggunakan laman Twitter dalam tindakannya sebelum ini telah maju setapak lagi dengan hanya menggunakan telefon saja untuk mengambil keterangan.

Walaupun berbeza pendirian dengan Khalid, Zahid dalam hal ini harus kekal dengan ketegasan bahawa peserta demo anti salib itu boleh diambil tindakan di bawah Aka Hasutan sebagaimana ramai yang lain sudah disabitkan dengan akta itu.

Sebagai Naib Presiden UMNO yang makin disebut-sebut sebagai bakal pemimpin masa depan, Zahid juga mesti mengekalkan pendirian untuk mengambil tindakan disiplin terhadap ahli UMNO yang terlibat dengan demo itu.

Setelah menyatakan pendirian dan ketegasannya itu, dengan kedudukan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden UMNO, tugas Zahid seterusnya ialah memastikan kata-katanya masih "laku" dan tetap menjadi kenyataan. (SH 21/04/2015)

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707