Kenyataan Media

1. PAS mengutuk sekerasnya tindakan pihak tertentu yang memainkan isu keagamaan dan perkauman. Perbuatan seperti berdemonstrasi di hadapan Gereja pada Ahad lalu dan terbaru Alvin Tan mengeluarkan video mempersendakan suara Azan adalah perilaku yang sepatutnya dibantah oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan persaudaraan.
2. Perkara yang membabitkan sensitiviti agama dan kaum tidak sewajarnya dijadikan bahan ejekan dan momokan kerana pastinya ia akan mengguris perasaan penganut agama masing-masing. Ibaratnya bagai menyimbah minyak ke atas api membara pasti membawa bahaya kepada semua.
3. PAS mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak dengan berani dan telus terhadap kes demonstrasi di hadapan Gereja di Taman Medan, Petaling Jaya dan juga kes Alvin Tan yang secara berterusan mempersenda Islam. Siasatan hendaklah dibuat kepada pelakunya termasuklah abang kepada Ketua Polis Negara.
4. Sudah menjadi kebiasaan di negara ini,apabila Kerajaan ditekan hebat dalam isu yang tidak mampu dijawab oleh mereka maka muncullah watak hero kononnya pembela agama dan bangsa. Tidaklah susah untuk membaca strategi kotor sebegini untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu 1 MDB, GST dan pelbagai lagi kepada isu agama dan kaum pula. Apa yang membimbangkan kita adalah isu ini didalangi oleh penaja-penaja politik demi mempertahankan kepimpinan kerajaan sedia ada.
5. Justeru, PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak terus terperangkap dengan isu sensitiviti yang sengaja dimainkan oleh pihak tertentu demi mengalihkan perhatian dan desakan rakyat dalam isu kos sara hidup yang kian tinggi sekarang. Ayuh, kita berganding bahu menetapkan tekad dan azam untuk menyelamatkan Malaysia ini daripada terus dicengkam oleh rejim UMNO-BN yang terus menekan dan menzalimi rakyat.
Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS