Mursyidul Am adalah ketua Majlis Syura Ulamak (MSU) manakala Presiden adalah ketua Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.(JKPP)
Tugas Mursyidul Am ialah seperti yang diperuntukkan di dalam Fasal 9(1) iaitu :
a) bertanggungjawab sebagai ketua Majlis Syura 'Ulamak bagi melaksanakan kuasa-kuasa yang diperuntukan dalam Fasal 8 (1)(a), (b) dan (c) Perlembagaan ini.
b) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak. dan
c) Mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara Perlembagaan, dasar dan hukum PAS dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.
Tugas Presiden ialah seperti yang diperuntukkan di Fasal 26(1) iaitu :-
a) Bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan ini mengikut dasar yang diperuntukannya dan yang diputuskan oleh mana-mana badan yang diberi kuasa oleh Perlembagaan ini bagi menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS serta membuat ketetapan-ketetapan mengenainya.
b) Bertanggungjawab ke atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaraskan tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
c) Melantik Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua Pengarah Pilihan Raya dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang dilantik serta Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan menurut peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
d) Mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing.
e) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Harian PAS Pusat.
Kedua-dua Mursyidul Am dan Presiden mempunyai kuasa masing-masing. Presiden sebagai ketua JKPP tidak bermaksud beliau mempunyai kuasa mutlak melakukan apa saja secara bersendirian. Begitu juga Mursyidul Am sebagai ketua Majlis Syura Ulamak tidak mempunyai kuasa secara bersendirian.
Perlembagaan PAS amat menekankan konsep SYURA iaitu mesyuarat. Segala tindakan mesti dibincangkan dan diputuskan di dalam mesyuarat yang akan mengikat semua pihak tidak kira ianya Mursyidul Am, Presiden mahu pun ahli biasa.
Sebab itu Perlembagaan PAS meletakkan bahawa kekuasaan tertinggi PAS ialah Muktamar Tahunan PAS seperti yang disebutkan di Fasal 7 (2) Perlembagaan spt berikut :-
"Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian (1) itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan Muktamar atau Mesyuarat Agung PAS"
Apabila Perlembagaan meletakkan Muktamar sebagai kuasa tertinggi yang mana segala gerakan dan pentadbiran PAS dijalankan di bawah perintahnya maka roh atau niat Perlembagaan adalah bahawa segala sesuatu yang hendak dilakukan oleh PAS mesti melalui SYURA atau MESYUARAT. Tidak ada seorang pun di dalam PAS diberikan kuasa bertindak secara bersendirian tak kira dia itu Mursyidul Am atau Presiden.
Siapa lebih berkuasa antara Presiden dan Mursyidul AM?
Kedua-duanya tiada apa-apa kuasa melainkan hanya sebagai ketua dalam pentadbiran. Yang mempunyai kuasa ialah Majlis Syura Ulamak sebagai institusi pemantau dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai badan pentadbir.
Mursyidul Am hanya ketua badan pemantau manakala Presiden ketua pentadbir.
Mursyidul Am bukan penasihat. Yang menjadi penasihat atau penjaga atau penjamin gerakkan PAS tidak tergelincir ialah Majlis Syura Ulamak bukan Mursyidul Am.
Presiden bukan penggerak atau pentadbir tetapi hanya ketua JKPP. Yang menggerakkan PAS ialah JKPP secara keseluruhan bkn Presiden semata-mata.
KESIMPULANNYA.
Di dalam sesebuah organisasi samada parti politik atau negara, yang berkuasa bukan orang perseorangan tetapi kolektif.
ZULHAZMI SHARIFF
28/04/2015