
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan sebelum ini banyak dibincangkan di berita dan media sosial kerana kenyataan beliau tentang GST. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 April, 2015.
Umno memberi amaran kepada Datuk Ahmad Maslan supaya berhenti membuat kenyataan mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), terutamanya di Rompin dan Permatang Pauh yang sedang menghadapi pilihan raya kecil (PRK), sepanjang tempoh berkempen ini, kerana khuatir akan akibat daripadanya, lapor Astro Awani hari ini.
Memetik sumber parti, portal saluran berita itu berkata, timbalan menteri kewangan itu diminta tidak mengetengahkan isu GST, terutamanya selepas beliau dikritik di media sosial kerana kenyataan yang dibuatnya sebelum ini mengenai cukai tersebut.
"Beberapa pemimpin atasan Umno memberi amaran kepada Ahmad yang terlebih lantang bersuara mengenai isu berkaitan GST ini. Ia boleh menyebabkan kita mendapat majoriti yang lebih kecil di PRK Rompin yang akan mengakibatkan kita tewas pula di PRK Permatang Pauh .
"Niatnya baik tetapi kenyataannya sering dimanipulasi oleh pembangkang sehingga banyak isu yang timbul, yang akan memberi kesan kepada parti," sumber itu dilaporkan berkata kepada Awani .
Satu sumber lain mengatakan, Ahmad diarahkan tidak bercakap lagi mengenai GST.
Beberapa minggu kebelakangan ini, Ahmad dikritik hebat dan dipersendakan di media sosial kerana dalam usahanya menerangkan dan mempertahankan GST, beliau membuat kenyataan yang dianggap kurang bijak.
Pada satu sesi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau pernah menasihati pelajar universiti memasak makanan sendiri demi menjimatkan wang sedangkan mahasiswa di kampus tidak dibenarkan menggunakan peralatan memasak.
Beliau juga dilaporkan berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memahami GST, kerana itulah bekas perdana menteri itu menyarankan kerajaan memansuhkan cukai itu.
"Saya rasa orang di sekelilingnya tidak memberi penerangan lengkap lagi terperinci mengenai GST kepada Dr Mahathir.
"Jelas peratus GST merupakan cukai yang lebih rendah daripada SST sebelum ini. Bagaimana boleh dia (Dr Mahathir) kata lebih baik jika kerajaan membatalkan GST?" ahli Parlimen Pontian itu dipetik berkata.
Beliau juga menggesa mereka yang rapat dengan Dr Mahathir menjelaskan kepadanya mengenai GST "tanpa dipengaruhi komen negatif dari pembangkang."– 29 April, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/umno-halang-ahmad-maslan-cakap-isu-gst-lapor-portal#sthash.2kKhv8DS.dpuf