Saham FGV merudum: Peneroka dan KPF rugi besar
![]()
DR. ROSLI YAAKOP | 29 April 2015.

HARGA saham FGV yang merudum menimpakan kerugian besar kepada peneroka Felda. Tetapi, ini tidaklah sebesar kerugian yang menimpa Keporasi Permodalan Felda (KPF) apabila ia menjual 51% sahamnya dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada FGV pada bulan Disember 2013 lalu. Oleh sebab peneroka pemilik majoriti KPF, maka sebenarnya, yang rugi adalah peneroka.
Semasa artikel ini mula ditulis, harga saham FGV RM2.09 se saham. Harga ini RM2.36 atau 53% di bawah harga tawaran awam awal (IPO), iaitu, RM4.45 se saham (FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 lalu).
Peneroka yang telah membeli 800 unit saham membayar RM3,560 dan jika ia masih memegang saham itu, maka nilai pasaran saham berkenaan hanya tinggal RM1,672 sekarang, bermakna, pemegangnya sudah rugi RM1,888.
Itu kerugian seorang peneroka. Ada 112,635 orang peneroka Felda di seluruh negara. Sekiranya setiap peneroka membeli 800 unit saham, maka jumlah saham FGV yang mereka pegang ialah 90,108,00 unit. Bermakna, kerugian yang mereka tanggung ialah RM212,654,880.
Ini kerugian yang amat besar memandangkan masih ramai peneroka berpendapatan rendah. Kalau harga sebuah rumah RM150,000, jumlah ini mampu membiayai 1,418 buah rumah untuk generasi kedua.
Bilakah harga saham FGV akan naik semula? Tiada siapa yang boleh meramalkan. Dalam masa terdekat ini kebarangkalian untuk harga pulih dengan ketara amat kecil. Ini memandangkan prestasi kewangan FGV sudah merosot. Dilaporkan dalam suku terakhir tahun 2014, keuntungan FGV mengecut sebanyak 96%.
Kejatuhan ketara harga minyak sawit di pasaran dunia, peningkatan ketara kos pengurusan, hasil tuaian yang tidak meningkat kerana lebih 50% dari pokok sawit yang ada sudah tua dan kedudukan mudah tunai syarikat yang ketat adalah penyebab-penyebab utama yang menekan harga saham FGV.
Kekurangan minat pelabur asing untuk melanggan saham FGV juga menekan harga. Setakat 27 Februari 2015, tidak sampai pun 10% daripada jumlah saham FGV yang diapung di Bursa Malaysia (3,648,151,500 unit kesemuanya) dipegang pelabur asing. Bermakna, matlamat untuk melonjakkan kehadiran pelabur asing di Bursa Malaysia melalui pengapungan saham FGV telah gagal direalisasikan.
Dalam keadaan ketidakcukupan bilangan pelabur bermain di pasaran, apatah lagi bilangan saham yang diapungkan terlalu besar, adalah dijangkakan harga saham FGV akan terus tertekan. Harus diingat, Bursa Malaysia saiznya relatif kecil dan bilangan pelabur yang bermain di pasaran terhad, tidak seperti pasaran saham London, New York dan Tokyo dan lain-lain.
Kurangnya minat pelabur-plabur dalam dan luar negara di dalam saham FGV ini telah menyebabkan sebahagian besar saham FGV yang diapungkan di Bursa Malaysia dipegang oleh pelabur-pelabur institusi khasnya badan berkanun yang kaya tunai.
Diperhatikan, dana awam seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan, Koperasi Permodalan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kerajaan Negeri Pahang, kerajaan Negeri Sabah dan National Association (Qatar) sebagai satu kumpulan memegang sekitar 37% daripada saham FGV. Sejak kebelakangan ini diperhatikan Felda Badan Berkanun dan Felda Asset Holdings Berhad telah memasuki pasaran dengan membolot hampir 44% daripada jumlah saham FGV di pasaran.
Hakikatnya, sekitar 80% daripada jumlah saham FGV di dalam pasaran dibolot oleh pelabur-pelabur institusi. Ini menimbulkan tanggapan bahawa sekiranya pelabur-pelabur institusi ini tidak memasuki pasaran, kebarangkaliannya amatlah tinggi bahawa harga saham FGV pastinya lebih rendah dari harga yang kita saksikan hari ini.
Juga, wujud tanggapan bahawa badan-badan kaya tunai ini berkemungkinan telah dikerah oleh pihak tertentu untuk masuk ke pasaran untuk menyokong harga. Dalam keadaan harga yang merudum, sudah pasti ada badan-badan berkenaan yang mengalami kerugian besar.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, peneroka rugi lagi apabila koperasi milik mereka, KPF, dikurangbayar (shortchanged) apabila KPF melepaskan 51% milikan sahamnya di dalam FHB kepada FGV pada Disember 2013. Felda Badan Berkanun khabarnya mendapat harga RM55.66 sesaham apabila melepaskan 49% sahamnya di dalam FHB kepada FGV sedangkan KPF hanya dibayar RM19.61 sesaham, RM36.05 atau 64.8% lebih rendah.
FGV menjadi "layak" untuk disenaraikan di Bursa Malaysia apabila harta milik Felda Badan Berkanun di dalam FHB disuntikkan ke dalam FGV. Hal ini kerana FHB sudah memiliki rekod perniagaan dan rekod untung yang panjang.
FHB, organisasi perniagaan utama bagi Felda Badan Berkanun, mempunyai modal berbayar sebanyak RM220 juta diwakili oleh 220 juta unit saham pada harga RM1.00 se saham. Dari jumlah itu, sebanyak 107, 800,000 unit atau 49% dimiliki oleh Felda Badan Berkanun sementara 112,200,000 atau 51% lagi oleh KPF.
Felda Badan Berkanun telah bersetuju "menyerahkan" 49% milikannya kepada FGV tetapi sehingga saat akhir FGV gagal mendapatkan persetujuan KFP untuk ia mengambilalih 51% milikan KPF di dalam FHB. Akhirnya, hanya saham yang mewakili 49% harta milik Felda Badan Berkanun di dalam FHB dan saham baru mewakili harta FGV sendiri diapungkan di Bursa Malaysia. Saham mewakili 51% harta milik KPF tidak diapungkan.
Apabila 49% milikan Felda Badan Berkanun di dalam FHB diwakili oleh 107,800,000 saham diserapkan ke dalam FGV, saham itu ditukarkan kepada 1,208,890,900 unit saham FGV. Ini ditambah dengan saham baru FGV berjumlah 1,089,445,000 menjadikan saham FGV yang diapongkan berjumlah 2,298,335,900 unit.
Milikan 51% KPF di dalam FHB diwakili 112,200,000 tidak diserapkan ke dalam FGV, bermakna, saham ini tidak diapongkan. Apabila diserapkan ke dalam FGV, 112,200,000 unit saham FHB ini bersamaan 1,349,815,600 saham FGV atau 37% dari saham FGV keseluruhan. Pada harga tawaran awam awal sebanyak RM4.45 se saham, maka nilai pegangan saham mencecah RM6 bilion.
Agihan Saham FGV Sebelum Diapongkan KLIK SINI