ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir terbukti mengkhianati institusi pendidikan Islam, bahkan seolah-olah memusuhi tempat untuk melahirkan ulama, apabila terbaru mengarahkan pula pembekuan segala aktiviti untuk Sekolah-sekolah Agama Negeri serta peruntukan.
Adun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, semasa awal mengambil alih Kerajaan Negeri Kedah, Mukhriz telah menghentikan projek pembinaan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) di Pulau Tuba, Langkawi.
"Beliau juga bertindak keterlaluan dengan cuba 'menutup' Kampus Tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil apabila mengarahkan pelajar dan kakitangan kembali ke Kampus Alor Setar di Mergong.
"Malah, rangkaian Maktab Mahmud yang menjadi kebanggaan negeri Kedah telah diserahkan kepada pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Ini menunjukkan kegagalannya mengurus institusi-institusi yang sinonim dengan negeri Kedah ini.
"Pentadbiran Mukhriz turut gagal menguruskan institusi agama yang lain termasuk masjid, apabila sehingga Mac 2015 terdapat 158 kekosongan jawatan Imam, 318 Bilal dan 226 Siak daripada 568 Masjid seluruh negeri Kedah," ujarnya.
Sedangkan katanya, ketika sama Mukhriz terus berangan-angan dengan projek mega kononnya untuk dibawa ke Kedah, namun sehingga kini setelah lebih dua tahun, beliau hanya mengharap sahaja dari Kerajaan Persekutuan.
Menurut Ustaz Mohd Azam, MTSD semasa di bawah kepimpinan mantan Menteri Besar, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telahpun meluluskan RM3 juta pada Sidang Bajet 2012 di Dewan Undangan Negeri untuk pembinaan Fasa Pertama bangunan tetap MTSD.
Sekaligus katanya, Almarhum telah meletakkan pandangan futuristiknya terhadap masa depan pulau terpencil itu dan cuba meletakkan cahaya al-Quran dipulau yang tiada bekalan elektrik itu, selain menjana tarikan pelaburan dan pelancongan masa depan.
Almarhum menurutnya, melakar satu perubahan yang lengkap dicita-cita dan dilaksanakannya meliputi pembangunan serentak infrastruktur dan insan.
"Malah, MTSD yang diilhamkan oleh Ustaz Azizan di mana beliau sendiri yang meletakkan standard kriteria pengambilan pelajar, penetapan kurikulum, sistem pembelajaran dan pemilihan tenaga pendidik.
"MTSD telah membuktikan pencapaian cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2014 lalu apabila daripada 50 pelajar yang merupakan kumpulan pertama pengambilan MTSD, seramai 14 pelajar mendapat A untuk semua 11 mata pelajaran, manakala selebihnya memperoleh pencapaian minimum sehingga 8A.
"Begitu juga hasrat Almarhum menjadikan KUIN sebagai Pusat Pengajian Islam terkemuka di rantau ini dengan status universiti penuh, telah diusahakannya dengan bersungguh-sungguh apabila berjaya menyiapkan prasarana kampus tetap di Kuala Ketil.
"Almarhum juga berjaya menambah bidang pengajian hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) serta tawaran 44 kursus pengajian selain menarik masuk tenaga pengajar berkelayakan," ujarnya yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.
Menurut beliau, sepatutnya usaha murni itu diteruskan dan menjadi sesuatu perolehan membanggakan untuk negeri Kedah, malangnya di bawah kepimpinan Mukhriz semua hasrat tersebut seakan-akan hancur.
Ketika sama katanya, Mukhriz sibuk dengan penampilan kosmetik dan 'extravaganza' antaranya menganjurkan Majlis Salawat dengan cara yang membazir di mana membelanjakan sehingga hampir RM700,000 untuk program hanya sehari. – HARAKAHDAILY 1/4/2015