Tangguh harga topup bukti kecelaruan kerajaan
FATHIN ATHIRAH HASLI
SHAH ALAM – Tindakan kerajaan yang menangguhkan penjualan harga asal kad tambah nilai prabayar membuktikan kecelaruan kerajaan dalam menangani sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengurusan kerajaan yang tidak mengecualikan cukai tersebut ke atas syarikat telco menyebabkan berlakunya kecelaruan tersebut.
“Kita dapat lihat dengan jelas percanggahan yang berlaku. Tempoh hari kata (kad tambah nilai prabayar) dikenakan GST, lepas itu mereka kata tidak kena GST pula.
“Tindakan kerajaan yang mengumumkan kad tambah nilai dijual dengan tambahan GST, kemudian mengumumkan harga kad tersebut dijual dengan harga asal dan kini menangguhkan pula langkah tersebut memperlihatkan kecelaruan dasar kerajaan dalam melaksanakan GST,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia menangguhkan arahan kepada syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal perkhidmatan kad prabayar yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Mei.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata pada kelmarin bahawa ia selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bahawa kajian mengenai layanan GST ke atas perkhidmatan kad prabayar masih dijalankan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.
Nik Nazmi berkata, penangguhan tersebut turut memaksudkan bahawa kerajaan sendiri tidak bersedia dengan kesan atau impak pelaksanaan cukai tersebut.
“Bila kerajaan buat dasar, kerajaan tidak buat dasar yang menggariskan bahawa syarikat telco tidak aka dikenakan GST.
“Kerajaan sudah tersalah pandang dan akhirnya rakyat juga yang menderita dengan pelaksanaan cukai ini,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, dengan penangguhan tersebut, beban rakyat yang terpaksa menanggung cukai tambahan setiap kali membeli kad tambah nilai akan berterusan.
“Yang banyak pakai prabayar merupakan golongan pelajar dan majoritinya adalah merupakan rakyat yang mempunyai pendapatan tidak tetap,” jelasnya lagi.
Oleh itu beliau menyarankan kerajaan supaya membatalkan penangguhan terhadap harga jualan kad tambah nilai prabayar yang diumumkan.