Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Modul Kem Bina Sahsiah menepati kehendak semasa

$
0
0
MERBOK – Kem Bina Sahsiah anjuran kerajaan negeri menepati modul-modul yang mampu membina sahsiah remaja berlandaskan iman dan takwa.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Insan dan Pembangunan Usahawan, YB Ustaz Abd Ghani Ahmad berkata, kem selama 21 hari ini memuatkan slot yang melibatkan agensi-agensi kerajaan bagi memberi kesedaran kepada remaja mengenai kesan daripada gejala sosial yang berlaku.

“Antara agensi yang terlibat adalah Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Penjara untuk memberi pendedahan apakah kesan dan akibat apabila remaja terlibat dengan gejala sosial.

“Selain itu, kita juga adakah slot pengurusan jenazah dan penyembelihan binatang, yang mana suatu hari kelak semua akan terlibat dengan perkara sedemikian, kita juga adakan aktiviti fizikal,” ujar beliau pada Majlis Perasmian Penutup Kem Bina Sahsiah 2012 yang diadakan di Sekolah Menengah (A) Zubaidiyah, di sini.


Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul bagi menggantikan YAB Menteri Besar.
Tambah beliau, kem yang diilhamkan oleh YAB Menteri Besar sejak tahun 2004 membuktikan kerajaan negeri tidak mengabaikan golongan belia daripada terjerumus dengan gejala sosial yang merosakkan diri, keluarga, negeri dan akhirnya kepada negara.
“Kerajaan negeri tak ambil jalan yang sia-sia biarkan anak-anak kita terus hanyut begitu sahaja dengan gejala-gejala sosial yang tidak terkawal.

“Selain kem ini, kita (kerajaan negeri) juga menganjurkan Kem Anak Soleh, Kem Bina Insan pada musim cuti sekolah, yang mana ibu bapa tidak perlu fikir di mana mereka hendak menghantar anak-anak mereka bagi mengisi masa cuti mereka.

“Sambutan yang kita terima amat menggalakkan bagi kem-kem yang kita anjurkan. Dan yuran yang dikenakan juga berpatutan, ia juga memberi ruang kepada anak-anak kaum lain untuk menyertai kem ini,” jelas beliau.

Beliau turut berkongsi laporan daripada soal selidik yang dibuat terhadap 209 peserta, merangkumi 109 lelaki dan 100 perempuan.
“Daripada soal selidik yang dilakukan, terdapat tiga unsur yang penting, iaitu dari segi kesukaan kepada muzik, majoriti menjawab lebih cenderong mendengar lagu-lagu nasyid berbanding irama muzik lain.

“Alhamdulillah, ini perkembangan yang positif di kalangan peserta, lagu-lagu nasyid memberi nasihat dan pengajaran yang baik kepada mereka.

“Manakala dari segi kegemaran kepada filem, mereka lebih gemar kepada filem berbentuk jenaka, tapi tak gemar cerita-cerita berunsur cinta.

“Bila pelajar menghadapi masalah, orang yang mereka selalu jadikan rujukan dan tempat meluah perasaan adalah ibu, justeru ibu mesti main peranan untuk menjadi pendengar dan pencetus idea kepada masalah yang dihadapi anak-anak.

“Nasihat saya kepada anak-anak sekalian supaya jangan abaikan solat, kerana solat tiang agama, tonggak jati diri seseorang remaja terletak pada sembahyang, kalau dia gagal dalam kesempurnaan solat, hati nurani dia akan diisi oleh bisikan-bisikan syaitan,” jelas beliau.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707