Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

"Kacau gula dengan kopi tidak pecahkan cawan"

$
0
0
Oleh ARIF ATAN & SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Pertelingkahan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat menjelang PRU13 ini, hanya akan menguntungkan Umno-BN jika tidak ditangani sebaiknya, tegas Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

“Buktikan perpaduan dalam Pakatan Rakyat walaupun berbeza pendapat, kita berdebat. Boleh berbalah tetapi seperti mengacau gula dengan kopi tidak pecahkan cawan.

“Kita tidak mahu jadi lesung dan alu berlaga, ayam yang kenyang. PAS dan KeADILan jika bergaduh yang kenyang Barisan.

Itu hanya merugikan kita (Pakatan),” katanya di depan lebih 2,000 perwakilan Konvensyen Pakatan Rakyat kali Ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam, 25 Februari lalu.

Tambahnya, Pakatan Rakyat telah berjaya membuktikan dalam PRU12 lalu, orang Melayu yang menyokong PAS boleh mengundi calon-calon DAP dan KeADILan yang bukan Islam.

Demikian juga, penyokong DAP tidak gentar mengundi calon bukan daripada parti mereka dan bersedia mengalahkan calon MCA-BN yang sama kaum dengan mereka.

Tegas Ustaz Abdul Hadi, Islam sebagai agama Persekutuan menjamin hak yang adil dan tidak boleh berbuat zalim terhadap agama lain.

“Kita laksanakan apa yang relevan untuk rakyat dengan mewujudkan perpaduan yang adil terhadap semua rakyat. Umno telah gagal melaksanakan adil untuk semua,” katanya dalam ucaptama beliau selama 25 minit itu.

Ustaz Abdul Hadi juga yakin Pakatan mampu mentadbir Putrajaya selepas membuktikan kecemerlangan memimpin di negeri dikuasai Pakatan selama satu penggal.

“Insya-Allah kita buktikan sekiranya kita ke Putrajaya. Kita menunaikan janji Buku Jingga. Janji yang akan ditepati, bukan menepati janji selama 50 tahun.

“Kita tahu rakyat diperkudakan. Buku jingga menyelesaikan masalah, bukan membodohkan rakyat. Insya-Allah rakyat tidak boleh dibodohkan. Tanggungjawab kita mencerdikkan rakyat,” katanya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707