Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Jangan Tembak kaki Sendiri...

$
0
0
Semakin dekat tarikh PRU13, pelbagai persoalan dan isu timbul, ada kalanya tanpa dijangka, sebahagiannya pula akibat kelalaian atau kesilapan sendiri. Wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN menemui AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menggariskan beberapa panduan buat aktivis Pakatan meningkatkan persiapan terakhir sebelum Parlimen dibubarkan.

HARAKAH: Jarang orang bercakap soal strategi pilihan raya secara terbuka, tapi kalau boleh, minta Dr dapat kongsi bersama strategi PAS dan Pakatan utuk menumbangkan Umno-BN?

DR DZULKEFLY: Mana boleh dedahkan strategi mengalahkan musuh! (ketawa) Jawapan itu mungkin satu yang lazim. Di segi kebijaksanaan konvensional, sebutan itu adalah munasabah. Namun tidak dalam ‘peperangan’ dan PRU13. Ini "Ibu Segala Peperangan", paling getir dan paling sengit kerana ia menjanjikan perubahan besar.

Ya, semua rakyat yang mahukan perubahan wajar dan wajib tahu! Dan semua mesti bertanggungjawab menjayakan strategi itu. Kejahilan atau kecuaian akan menjadikan ia penyebab kegagalan dan sekali lagi rakyat berputih mata.

Saya ingat dari kitab strategi peperangan tua Sun Tze – The Art Of War bahawa "strategi tanpa taktik adalah jalan paling jauh kepada kejayaan (victory)" tetapi "Taktik tanpa strategi adalah hiruk-pikuk (noise) sebelum kekalahan (Defeat)".

Saya khuatir, kalau kita memasuki PRU13 tanpa strategi akan berulang senario PRU11 (2004), di mana 'hiruk-pikuk' dan 'gegak-gempita' tentang kononnya kemenangan yang dikejar tapi berakhir dengan kegagalan yang mengaibkan! Mungkin kita punya taktik (yakni segala jentera pilihan raya dan mobilisasinya) tetapi tanpa strategi, hiruk-pikuk jentera gagal diterjemahkan kepada kejayaan.

Minta Dr jelaskan lebih terperinci strategi yang dimaksudkan itu?

Strategi utama PRU13 ialah "Penggemblengan Seluruh Rakyat Menumbangkan Regim Umno-BN" atau "The Strategy of Grand Coalition to Debunk Umno-BN". Bukan sahaja semua pimpinan tertinggi Pakatan perlu faham bahkan seluruh pimpinan peringkat negeri, kawasan dan cawangan.

Pakatan perlu utuh dan bersepadu dan jangan siapa pun pimpinan tertinggi mahupun di peringkat Majlis Tindakan Dun atau MTD, baik di peringkat peti undi sekali pun, menggagalkan strategi ini.

Jangan ada yang dizinkan bertanding 3 penjuru. Jangan ada yang mencabar formula satu lawan satu. Pakatan mesti memenangi sebanyak mungkin kerusi yang mampu di Semenanjung.

Senario paling buruk Semenanjung ialah 90 kerusi Parlimen dan mengekalkan 4 negeri. Senario paling baik ialah memenangi 120 kerusi Parlimen sekali gus menawan Putrajaya dan memenangi 6 negeri, yakni menawan kembali Perak dan menambah Negeri Sembilan. Johor dan Terengganu masih dalam jangkauan, dengan strategi yang betul dan berkesan.

Pakatan juga wajar menggembleng parti pembangkang di Sabah dan Sarawak. Pimpinan perlu bijak mencatur dan mengatur susun langkah kerana cabaran mendapatkan sentuhan strategi yang berbisa menuntut pengorbanan yang tinggi.

Apakah formula agihan kerusi yang bersifat 'Win-Win' untuk semua parti pembangkang diSabah dan Sarawak bagi mewujudkan grand coalition dengan Pakatan? Nafsu bertanding banyak kerusi mesti ditundukkan untuk memberi laluan kepada faktor perhitungan ‘winnability’ atau "boleh menang".

Dalam senario terburuk di atas, andainya hanya 90 kerusi yang mampu diraih Pakatan diSemenanjung, Borneo mampu menyumbang 22 kerusi, yakni 14 kerusi Sabah dan 8 Sarawak,untuk majoriti mudah 112.

Penggemblengan seluruh rakyat juga menunutut supaya pimpinan Pakatan bijak mengurus kehendak serta tuntutan NGO, seperti Hindraf dan seluruh masyarakat sivil yang berhimpun dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat seperti Anti-Lynas, Royalti, GMI, ANAK Felda, PPSMI dan lain-lain.

Seluruh kemarahan dan kebencian mesti dipunggah dan diarah bagi mencetuskan satu gelombang kebangkitan rakyat yang mahukan ditunaikan "perubahan yang tertangguh". Manifesto Pakatan Harapan Rakyat mesti mampu mengawan hatibudi rakyat serta harapan mereka.



Pemimpin Umno-BN dan media terus berusaha melagakan pemimpin PAS, DAP, KeADILan membabitkan persoalan dasar dan juga pengagihan kerusi. Adakah ini boleh menjejaskan persiapan Pakatan hadapi PRU13 dan menyebabkan persepsi rakyat kepada Pakatan menjadi negatif?

Setelah jelas strategi "grand coalition" adalah formula kemenangan yang mesti dipelihara, maka sangat mudah untuk kita fahami mengapa pemimpin Umno-BN dan media kongkongan mereka berusaha untuk memecahkan dan memporakperandakan kesepaduan Pakatan .

Dari apa yang dipamerkan, pendekatan strategi Umno-BN adalah sangat jelas dan mudah. Kelemahan Pakatan dikesani berpunca dari segi ideologi politik. Strategi Umno-BN adalah untuk menggugat kesepaduan Pakatan dengan mengingatkan perbezaan ideologi di antara mereka.

Justeru, fokus mereka adalah pertentangan antara Negara Islam lawan negara sekular, perlaksanaan Hudud dan terkini isu siapa calon Perdana Menteri selepas Pakatan menang.

Media Umno-BN berbahasa Melayu, Mandarin dan Tamil menonjolkan ketidaksepakatan, bahkan perbalahan antara parti-parti komponen Pakatan. Cukup dengan mengetengahkan polemik dan perbalahan di antara pemimpin Pakatan.

Lebih tinggi, lebih tajam dan lebih lama pertelingkahan, maka lebih baiklah untuk mencetuskan persepsi dan tanggapan bahawa Pakatan yang tidak mampu mengurus perbezaan, masakan boleh diberikan kuasa memerintah Pusat.


Ini kerana politik itu ukurannya persepsi dan bukan hakiki. Maka cukup bagi media mengulang tayang episod serta kenyataan "pertelingkahan" ini bagi memburukkan imej dan menjatuhkan kredibiliti serta kesepaduan muafakat Pakatan. Rakyat awam secara berdikit-dikit dibimbangi termakan sogokan media, khususnya manipulasi isu-isu berkaitan Islam dan kepentingan Melayu.

Begitu juga hal perbincangan agihan kerusi, yang tentunya rumit dan mungkin mencetuskan pelbagai reaksi emosional dan tidak rasional sehingga mahu sahaja bertanding tiga penjuru.

Hakikatnya, BN lebih teruk lagi bahkan sesama parti, seperti Umno atau MCA, berlaku 'perang' yang lebih serius. Tengok sahaja antara Chua Soi Lek dan Ong Tee Keat atau perebutan pimpinan Umno untuk jawatan menteri besar bahkan atas isu siapa jadi calon sekalipun. Sangat sengit dan tajam sekali.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa mengingatkan agar pemimpin Pakatan, khususnya PAS, "berpantang dalam tempoh kritikal" menjelang PRU13. Malangnya, dalam "waktu tambahan atau kecederaan" ini pelbagai isu timbul, yang sebahagiannya boleh ditafsirkan memberi kesan buruk kepada Pakatan.

Sun Tze ada menyebut, apabila perang atau pertempuran dilengah-lengahkan, seteru sebenarnya mahukan lawannya melakukan kesilapan. Atas penekunan doktrin ini saya pernah menyebutkan bahawa yang bakal menang dalam PRU13 nanti adalah pihak yang paling sedikit membuat kesilapan, terutama dalam "waktu tambahan yang paling lama".

Misalnya, saya ramalkan Umno-BN sekali cuba mengheret PAS menyatakan pendirian parti Islam, yang kononnya telah kendur dalam agenda memperjuangkan perlaksanaan hukum jenayah Islam. Kerana takut kehilangan undi Melayu-Islam maka mungkin pimpinan PAS akan cepat mempertahankan pendirian terhadap tuntutan Syariat ini. DAP pula dijangka mengulangi pendirian bahawa Hudud bukan agenda Pakatan. Maka PAS akan ditanggapi sebagai tunduk dan diperkudakan DAP.


Di sini amat mustahak untuk "berpantang dalam tempoh kritikal" ini. Semua pimpinan tertinggi jangan cepat melatah dengan provokasi media Umno-BN.

Perlu ada satu "skrip jawapan" yang agak standard bagi semua soalan sensitif yang bersifat "senjata dua-mata" dari segi kesan yang berbeza kepada sokongan Melayu Islam dan bukan Melayu-bukan Islam. Contoh mudah isu Hudud.

Maka perlu ada jawapan yang standard dan diskripkan. Sebagai contoh jawapan: Dasar dan program Pakatan adalah dicapai melalui konsensus atau kesepakatan 3 parti. Hanya apabila ketiga-tiga parti bersetuju baru ia menjadi Dasar Bersama Pakatan.

Justeru, meskipun Pakatan belum menerima Hudud sebagai polisi bersama Pakatan, tetap ianya merupakan polisi anjuran PAS sebagai sebuah parti Islam tetapi tidak menjadi polisi Pakatan.

Namun apa jua polisi PAS akan hanya dapat dilaksanakan melalui proses demokrasi serta proses legislatif dan tidak akan dipaksakan ke atas rakyat kecualilah mendapat sokongan dan dokongan rakyat.

Maka amat penting bagi PAS menjelas, mendidik dan menawan hatibudi rakyat untuk menyokong apa jua polisi PAS. Buat tempoh kritikal ini adalah amat wajar bagi pimpinan PAS menjauhi polemik, termasuk isu kedudukan PM bagi mengurangkan pertentangan sesama sendiri atau "menembak ke kaki sendiri" atau sesama rakan-rakan Pakatan.



Berbanding BN dan sebelumnya Perikatan, Pakatan masih muda usianya, iaitu baru sekitar 5 tahun terbentuk. Bagaimana Dr melihat gabungan ini dikendalikan selama tempoh tersebut? Mungkin ada cadangan penambahbaikan.

Benar, Pakatan baru berusia 5 tahun. Mengurus koalisi politik bukannya Pengalaman di negara demokrasi yang lebih matang, seperti United Kingdom, Jerman atau Australia, membuktikan ia menuntut satu tahap kematangan politik yang tinggi.

Tetapi ini adalah pengalaman kedua koalisi politik pembangkang setelah era Reformasi. Mengambil pengalaman PAS sendiri dan parti pembangkang yang lain, ia mempunyai sejarah yang lama, contohnya dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan seterusnya Barisan Alternatif (BA).

Pakatan Rakyat adalah penambahbaikan dari pengalaman koalisi BA. Saya terlibat dalam sekretariat BA dan Pakatan. Saya berani merakamkan bahawa Pakatan adalah jelmaan muafakat yang jauh lebih matang.

Paling penting, Pakatan bermula bukan hanya kerana parti-parti pembangkang ini memerlukan satu sama lain untuk menubuhkan kerajaan di peringkat negeri, tetapi lebih insaf dan sedar bahawa membina sistem dua parti itu adalah tuntutan realiti negara yang demografi atau kependudukan serta pengundinya bersifat plural atau majmuk.

Untuk mampu mengalahkan Umno-BN, muafakat politik pembangkang sebagai satu koalisi adalah wajar bahkan 'wajib'. Sementelahan dalam perhitungan Seerah Rasullah sa.w., PAS yakini bahawa membina politik koalisi ini satu yang bebrtepatan dengan pendekatan strategi tahalluf Siyasi.

Lebih mustahak, Pakatan dibina di atas matlamat "menegakkan keadilan dan membanteras kezaliman" yang menyakiskan pada tahap-tahap awal perumusan Dasar Polisi Bersama atau Common Policy Framework (CPF).

Ini dicapai dengan pendekatan konsensus ketiga-tiga parti dan tidak ada parti, berbeza dengan BN yang menjadi boss atau "big brother" atau tuan kepada yang lain. Dalam masa hampir lima tahun, Pakatan berjaya menghasilkan CPF, Buku Jingga, Belanjawan Pakatan dan pelbagai polisi dan pendirian bersama melalui pengurusan tadbir-urus ini.

Saya yakin dalam waktu mendatang ini, Pakatan akan lebih berani menangani isu-isu sensitif dan lebih mencabar lagi dengan pendekatan terbuka dan lebih berani lagi untuk mendepani isu-isu yang satu masa dahulu dianggap 'taboo' atau 'pantang dan terlarang'.

Semasa Umno-BN terus menyalakan sentimen perkauman dan menyemarakkan politik jahat-fitnah, Pakatan serius membicarakan isu dan polisi menyentuh rakyat. Boleh Dr huraikan lebih lanjut?


Pakatan sememangnya penganjur politik baru di samping mahukan sistem baru dua parti ini terus diberdayakan dan jangan sekali-lagi negara ini berpatah kembali kepada sistem satu parti dominan.

Politik baru mudahnya diertikan dengan amalan politik berteraskan pengetahuan dan maklumat. Politik baru juga ditakrifkan sebagai amalan budaya politik di mana rakyat-pengundi membuat kepuutsan berdasarkan informasi.

Hari ini rakyat tahu kebobrokan Umno-BN dan ia tidak boleh lagi disembunyikan. Cuma capaian maklumat rakyat berbeza-beza. Tidak ada yang lebih berkesan dari menziarahi rakyat, mendekati mereka, menyantuni kehendak dan mengatasi masalah hidup mereka dengan pendekatan perkhidmatan wakil rakyat berserta aktivis parti.

Ketika Umno-BN mengheret pertandingan pilihan raya di garis "politik longkang", termasuk menjatuhkan lawan politik dengan pelbagai usaha jahat seperti tuduhan seks-sodomi, Pakatan kekal cuba membawa persaingan di atas pentas perbezaan polisi, dasar, tadbir-urus dan prestasi serta kewibawaan dan integriti kepemimpinan.

Ramai pemerhati politik masih melihat BN hanya bergantung harap dengan pengundi Melayu, terutama di kampung-kampung tradisi dan penempatan Felda. Dan dari pihak Pakatan, kebanyakan calonnya di kawasan kritikal itu diwakili PAS. Bagaimana PAS menghadapi cabaran sengit ini?

Umno hampir putus asa bahawa kaum Cina khususnya sudah tidak dapat diharapkan untuk kembali kepada Umno-BN. Ada penganalisis meramalkan MCA dan MIC akan mengalami kekalahan teruk PRU13.

Amat manasabah dalam suasana realiti seperti ini, Umno terpaksa meletakkan segala harapan kepada pengundi Melayu. Umno kini memiliki 79 kerusi Parlimen di seluruh Persekutuan. Di samping itu. mahu atau tidak. Umno terpaksa menaruh harapan kepada 'simpanan tetap' di Borneo untuk memenangkan mereka.

Umno akan menggunakan isu yang sangat emotif dan dekat di hati orang Melayu, iaitu isu kaum dan agama. Lawan Umno rata-ratanya calon PAS dan juga beberapa calon Melayu keADILan. Maka PAS akan berdepan cabaran untuk membuat penerangan tentang tohmahan untuk menakutkan kaum Melyau atas dua isu utama, yakni agama yang terancam dan bangsa yang akan hilang kuasa kepada orang Cina khasnya DAP.

Isu agama Islam berkisar sekitar bagaimana penganut agama lain, khasnya penganut Kristian akan menggugat kedaulatan Islam. Lebih parah, gerakan Kristinisasi kononnya akan bakal menyuntik jarum dakyah Kristian kepada orang Melayu-Islam.

PAS mesti bijak mengemudi penerangan kepada orang Melayu, khasnya yang tidak mendapat pendedahan internet. supaya tidak mempercayai pembohongan media BN itu.

Isu Felda juga memerlukan PAS dan Pakatan mampu menampilkan pelbagai kebejatan dan tadbir-urus yang pincang, khianat dan bobrok, yang seluruhnya membawa orang Melayu di FELDA gagal mendapat pembelaan yang sebenarnya.

Tawaran Manifesto Pakatan Harapan Rakyat mengandungi cadangan spesifik dan jelas terhadap beberapa segmentasi kelompok Melayu, khansya peneroka Felda – generasi pertama dan kedua, menberdayakakan kelompok pesara tentera di bawah 18 tahun perkhidmatan dengan pelbagai program untuk membangunkan kehidupan mereka, peluang pekrjayaan, pendidikan serta latihan kemahiran.

PAS juga mesti lebih menarik menawan wanita Melayu khasnya dan segmen pengundi muda Melayu atau 'first-time voters' bagi meningkatkan peluang PAS menambah kerusi Parlimen dan Dun dengan menggunakan pelbagai media baru, dalam FB, akhbar internet, tweet dan lain-lain.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707