Majdan Dagang, 05 Mac 2013

Cubaan Umno BN melalui medianya TV3 dan Utusan Malaysia yang cuba mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pimpinan pembangkang Pakatan Rakyat dengan isu pencerobohan di Sabah bukan suatu tindakan yang bijak. Hal ini kerana, tindakan itu menambahkan lagi persepsi penyokong PR bahawa kejadian kejadian itu adalah sandiwara Umno-BN demi kelangsungan politiknya.
Hakikatnya, saya bersangka baik bahawa pencerobohan ini tidak ada kena mengena dengan kehangatan rakyat menanti pembubaran parlimen dan berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Apatah lagi ketika semua pihak memberi tumpuan 100 peratus kepada persiapan dan kempen PRU13.
Tambahan pula Pakatan Rakyat (PR) dalam kedudukan menyerang dengan pelbagai fakta dan isu. Sementara Umno-BN pula dilihat dalam kedudukan bertahan dan hanya mampu menyerang balas PR melalui isu-isu emosi seperti ketuanan Melayu, kalimah Allah dan beberapa lagi. Umno-BN juga sedar bahawa mereka tidak mampu menjawab apatah lagi menangkis pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh PR.
Dalam suasana bertahan ini, isu pencerobohan sekumpulan tentera Sulu dilihat oleh sesetengah pihak dapat meredakan tekanan yang diterima oleh Umno-BN dan seterusnya menenggelamkan beberapa isu penyelewangan termasuklah salahguna dana LTAT serta manifesto PR.
Namun, di sebalik semua ini timbul lebih banyak persoalan daripada jawapan. Apabila difikir-fikirkan, bagaimana sekumpulan tentera bersenjata boleh menerobos negara dengan begitu mudah dan menduduki suatu kawasan. Adakah kawalan pasukan keselamatan di Sabah begitu rendah tahapnya? Atau tentera sultan Sulu ini begitu cekap dan licik serta canggih teknologi sehingga berjaya menyelinap masuk tanpa disedari pasukan keselamatan?
Jika dengan sepasukan kecil dan peralatan terhad seperti itu dengan mudah memasuki negara, bagaimana pula jika yang datang itu dengan kelengkapan yang besar? Adakah kita bersedia menghadapinya?
Benarkah tujuan mereka mahu menuntut Sabah sebagai milik mereka? Apa perlunya mereka menghantar sejumlah kecil jika hendak berperang dan merampas sabah?
Sesungguhnya, banyak lagi persoalan yang bersarang di kepala. Namun, akibat sumber berita dan maklumat yang begitu terhad dan rahsia maka rakyat telah membuat pelbagai andaian. Tidak cukup dengan itu, pelbagai berita dan khabar angin yang cuba dieksploitasi bagi memburukkan musuh politik – bagi saya, sesuatu yang patut dielakkan.
Jika isu ini benar-benar suci dan bersih dan tidak kena-mengana dengan mana-mana pihak, amat wajar pihak kerajaan awal-awal lagi menyekat sebarang berita yang cuba mengaitkan pencerobohan ini dengan pihak PR dan menghalangnya daripada dipergunakan ke arah politik oleh mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang.
Yang berlaku sekarang, selepas berita yang mengaitkan pemimpin pembangkang disiarkan dalam media utama tersebut, maka secara automatik pihak PR juga akan membalas tindakan itu dan segera mendakwa Umno-BN dalang di sebalik kejadian di Lahad Datu ini.
Pihak rakyat terutamanya penyokong PR akhirnya semakin sangsi dengan kejujuran kerajaan dalam isu ini apatah lagi banyak berita yang tidak jelas kesahihannya telah digunakan untuk memburuk-burukkan pembangkang.
Akibatnya, sebahagian rakyat kini sedang mencari-cari, apakah apakah ada udang di sebalik mi, yakni ada sesuatu yang dirancang oleh Umno-BN demi mengekalkan kuasanya? Saya berharap isu ini tidak dilakukan demi kelangsungan hidup Umno-BN. Bukan untuk mengambil kesempatan menangguhkan PRU yang sepatutnya diadakan. Hentikan apa-apa tuduhan yang cuba mengaitkan mana-mana pemimpin dengan pencerobohan ini.
Mari kita bersama-sama berfikir dan bersatu untuk menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan asing. Jangan biarkan rakyat dalam suasana keliru dan kita kehilangan anggota keselamatan seorang demi seorang. Segeralah selesaikan isu pencerobohan ini dan kembalikan keamanan di Sabah dan Malaysia amnya. Saya yakin tiada rakyat yang waras mahu menimbulkan huru-hara di negara ini atau mengambil kesempatan politik atas konflik semasa.
Biarlah tiada udang di sebalik mi. Mi tetap sedap dimakan tanpa udang jika dimasak dengan ikhlas dan cukup segala rencah lainnya. Tambahan pula, udang yang sedap dan besar agak mahal harganya.