MENSYUKURI NIKMAT, MENERUSKAN HARAPAN.
Jam 1.21 pagi, 9.3.2008, tercatat sejarah yang amat manis bagi para pejuang Islam dan Keadilan di kawasan Kuala Kedah, apabila Dato’ Ahmad Mat Isa yang bertindak sebagai pegawai pengurus pilihanraya telah mengisytiharkan bahawa keempat-empat calon yang bukan dari BN telah memenangi pilihanraya bagi kawasan Parlimen Kuala Kedah, dan DUN-DUN Anak Bukit, Kubang Rotan dan Pengkalan Kundur.
Pengisytiharan tersebut telah disambut dengan penuh kesyukuran oleh para amilin jamaah yang menunggu dengan penuh debar di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK) berselang seli dengan laungan takbir membesarkan Allah disamping menzahirkan kesyukuran kepada Allah yang telah memberikan nikmat “an nasr – kemenangan” kepada jamaah ini hasil dari rintisan perjuangan yang telah diteroka oleh para pendahulu perjuangan.
Lebih manis lagi, apabila kemenangan di Kuala Kedah ini rupanya memberi saham kepada kemenangan “aspirasi” jamaah bagi negeri Kedah Darulaman. Seluruh negeri Kedah pada pagi tersebut bagaikan “berjaga” menyambut kemenangan yang telah diimpikan sejak 50 tahun. Pelbagai kaedah dan usaha untuk dilakukan untuk memenangi hati rakyat dan seterusnya diterjemahkan dalam bentuk “undi” pada setiap piliharaya.
Para amilin tegar jamaah yang telah kembali kerahmatullah pun pasti tertempias dengan kemenangan ini, bayangkan betapa mereka telah “memberi” segala-galanya untuk jamaah dengan prinsip “samaada syahid ataupun menang – imma an nasr wa imma as syahadah”. Pada detik indah ini, jamaah yang mereka dokong, yang kerana jamaah itulah mereka dinafikan hak, dianaktiri, ditukar tempat kerja, dipulau, dituduh, dilabel dengan pelbagai gelaran, ditahan di bawah ISA, bahkan ada di kalangan rakan-rakan sejamaah yang telah dipanggil menemui Allah dengan darah yang berlumuran dek kerana dibunuh dengan mengunakan peluru yang dibeli dengan hasil cukai rakyat.
Sudah pasti detik indah ini – di kala rakyat terbanyak memberikan kepercayaan kepada Jamaah PAS – mereka sudah tentu sedang tersenyum indah di alam barzakh menyaksikan penerus generasi merasai “nikmat” hasil dari perjuangaan dan jihad yang telah mereka lakukan demi sebuah harapan untuk mendapat Jannah Allah SWT. Semoga “aspirasi” jamaah yang telah diperjuangkan oleh barisan pejuang terdahulu tidak di”khianati” oleh kita para penerus generasi yang merasai “nikmat” kemenangan ini.
7.00 pagi, 9.3.2008, di Kedai Capati, Pekan Bukit Pinang, rakyat saling bertahniah dan menyatakan rasa gembira, Pak Man Padang Hassan dengan linangan air mata menceritakan harapan mereka untuk merasai saat “nikmat” ini sejak dari zaman “kapal layar”. “Kami waktu tu sikit, tak pernah mimpi nak menang, la ni zaman hampa, Allah uji kita dengan menang, buatlah apa yang jamaah kita perjuangkan, kita nak redha Tuhan” ungkap Pak Man, sebagaimana dia tak pernah bermimpi untuk jamaah ini menang, demikian juga dia tak pernah nak mimpi pun nak pi duduk di mana-mana kerusi empuk GLC, PBT atau apapun agensi kerajaan.
Tetapi, hasrat Pak Man yang dikongsi bersama dengan barisan pimpinan di atas adalah untuk menyaksikan ISLAM dapat dipraktikkan dalam pentadbiran kerajaan, Islam – dengan wajah yang sebenar – telah diconteng arang oleh UMNO selama mereka mentadbir Malaysia dan negeri Kedah Darulaman, Pak Man telah ditarbiah oleh para Ustaz dan Tok Guru Jamaah bahawa, apabila “kita” memerintah kita akan menegakkan agama dan menguruskan dunia dengan agama, Pak Man masih pegang kukuh syarahan Al Marhum Ustaz Fadzil dalam kuliah di Bangunan PAS Jalan Kota “agama itu adalah asas dan pemerintah itu adalah pegawalnya, pasti akan hancur perkara yang tiada asas dan pasti akan lenyap perkara yang tak dikawal”, Pak Man tak kenal Imam Ghazali, Pak Man tak pernah baca kita Ihya, tapi Pak Man percaya sungguh dengan syarahan Ustaz Fadzil yang merujuk kata-kata Imam Ghazali itu dari kitab Ihya. Pak Man seronok sungguh apabila Jamaah yang pernah dipimpin oleh Ustaz Fadzil di Kedah dan di Malaysia telah diberikan kesempatan untuk merasai nikmat menang. Pak Man percaya mesti pimpinan pun rasa macam dia sedang rasakan.
Jam 9.15 pagi, 11.3.2008, Al Marhum Ustaz Abdullah Hashim (atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nadk Lah) dengan penuh bangga, semangat dan gembira berlabon di Markas MTD Anak Bukit (yang tanahnya di wakafkan oleh beliau) “ha… la kita dah menang, Pak Ndak kalau mati pun tak pa dah”, insan ini telah memberikan usianya untuk perjuangan Jamaah, pernah jadi wakil calon, pendamping wakil rakyat, juru runding untuk bawa balik Ustaz Fadzil ke Kedah (bersama Pak Long Hj Rahman Lin dan Ustaz Kassim Mina) dan pelbagai penglibatan samaada yang berbentuk fizikal dan material telah dilaburkan oleh Pak Ndak Lah – Semoga Allah berikan ganjaran yang setimpal atas usahanya untuk Jamaah ini -. Model “sosok tanpa nama besar” seperti Pak Ndak Lah berkenjah dalam negeri Kedah, mereka berasa amat puas sebab “la ni KITA menang dah”.
Ketika dalam bangunan Wisma Darulaman, barisan WakRak (Wakil Rakyat) yang baru menang dua hari yang lalu dan terpilih sebagai Exco, mengangkat sumpah jawatan di hadapan DYMM Sultan, dikala yang sama di luar pagar Wisma Darulaman, ratusan “abna harakah – para pencinta Jamaah” sedang menanti dengan penuh ghairah apa yang kerajaan KITA nak umumkan.
Det Ghosiah sambut tangan MB dan mencium sebagai tanda baiah dan meletakkan harapan supaya jangan lupakan rakyat yang memilih ini dan sudah pasti jangan lupakan aspirasi Jamaah ketika para pimpinan berada dipuncak kuasa. Keluarnya barisan Exco dari Wisma disambut dengan takbir dengan penuh semangat oleh “insan-insan kecil” yang tak punya nama, tapi punya azam yang tinggi untuk melihat Islam dijadikan pegawal kepada pemerintah seperti yang disyarahkan oleh Ustaz Fadzil di Jalan Kota puluhan tahun yang lalu.
“Satu himpunan besar-besaran untuk menyambut kemenangan KITA akan diadakan di Kompleks Batu 9, penceramah adalah MB Kedah dan Dato’ Haron Din, sebarkan”, hanya dengan panggilan SMS, rakyat dan para pencinta Jamaah menyebarkannya dengan rela dan tanpa upah. Puluhan ribu warga Kedah telah memenuhi kompleks batu 9, mereka datang kerana nak “tumpang” seronok kerana KITA dah menang, berjalan kaki berbatu-batu untuk meraikan kemenangan KITA, itulah rakyat dan pencinta Jamaah, “kami ni macam askar jalan kaki, panggil bila pun kami mai”.
Di akhir himpunan, dimaklumkan satu lagi himpunan besar-besaran sempena Maulidurrasul kita akan buat di …… (di mana?), di Stadium Suka Menanti, KITA dah perintah. Sampai harinya; puluhan ribu pula rakyat datang dari segenap penjuru negeri Kedah pakat mai. Dari pentas utama, antara yang kelihatan adalah YDP Majlis Agama, Dato’ Mufti, Ketua Hakim Syarie dan bahkan ramai para pegawai Kerajaan, “KITA memang dah perintah” kata Hj Ghazali Alor Gunung yang turut hadir ke Stadium naik motosikal tanpa road tax dan insuran, tapi bila pengerusi umumkan derma jihad, Hj Ghazali dengan penuh ikhlas “bagi dua ringgit, lagi dua ringgit simpan makan roti kedai Wak pagi esok”.
Cikgu Wahab A.Rahman balik malam tu dengan kepuasan. “tak sangka aih, Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Hj Hadi boleh ceramah di Stadium ni, puaih sungguh” ungkap Bang Non Kg Bukit (Al Marhum adalah bekas MKK Kg Bukit), “Lepaih ni tiap-tiap tahun KITA buat macam ni, bila KITA bagi ilmu kat rakyat, depa paham, mampoih UMNO” jawab Bang Chot. Demikianlah syoknya rakyat dan anggota Jamaah menyambut kemenangan KITA.
8 hb Mac setiap tahun 2009, 2010, 2011 dan 2012 dikenang oleh para pencinta Jamaah sebagai tarikh keramat hayutnya kuasa UMNO dari negeri Kedah, para pencinta Jamaah dan rakyat “dok peghati” kelaku kelayak para pemimpin, “betui dak Islam menjadi pengawal kepada pemerintahan” Tanya rakyat, “KITA baru perintah, nak atur barang-barang yang diselerak oleh UMNO, bukan senang” jawab pemimpin, rakyat dan pencinta Jamaah terus “dok peghati”, dengan harapan supaya tidak KITA “tak ganti perangai UMNO”, semoga husnuzzan rakyat dibalas dengan kesungguhan pimpinan menjalankan amanah.
Menjelang 8.3.2013 (ada khabaran kata Najib nak bubar tarikh ni), rakyat dah makin faham bahawa UMNO dan” stail UMNO” (yakni mazhab UMNO dalam memerintah) dah tak laku untuk diambil sebagai pemerintah, rakyat amat berharap dan terus mengharap supaya PAS dan Pakatan akan sentiasa bersama perjuangan rakyat untuk mengangkat “karamah Insan – kemulian manusia” dan “hakimiyyah Rab – kebijakan Tuhan” dalam mentadbir negeri Kedah.
Semoga Kedah terus sejahtera.
Ridzwan Abu Bakar
“KEDAH SEJAHTERA, RAKYAT DIBELA, AMANAH DIJAGA”
6.3.2013 / 10.25 mlm
Teratak Bonda, Lembah Derang.