Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

PKR matang atur strategi sejak PRU 2008

$
0
0
RUZY ADILA IDRIS
9 Mac 2013
PRU13

SHAH ALAM – Semalam genap lima tahun Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) berlalu. Secara kebetulan negara dikejutkan dengan pendedahan Azlan Mohd Lazim, bapa Mohd Saiful, yang menjadi fokus dalam kes liwat kedua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pendeahan itu dilihat menghakis 'suhu' isu pencerobohan warga Filipina ke Lahad Datu sejak sebulan lalu.

Seusia lima tahun itu, PKR, komponen Pakatan Rakyat (PR) dilihat menjadi sebuah parti yang semakin matang dalam mengaturkan strategi politik sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurut Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Jayum Jawan, kematangan itu jelas terpamer dalam Manifesto Rakyat yang dibentangkan dua minggu lalu.
Katanya, terdapat perancangan yang mendalam, komprehensif walaupun tidak menyentuh apa-apa secara spesifik tetapi hanya secara umum kerana itu memang sifat manifesto.

“Kalau manifesto itu disediakan lebih spesifik, itu bukan manifesto sebaliknya adalah rancangan ataupun program. Manifesto yang dibentangkan itu menampakkan semacam semua golongan ada yang hendak diberikan oleh PR jika mereka memerintah.

“Malah unsur intelek yang diterapkan dalam manifesto itu juga menunjukkan PKR sudah matang dalam lima tahun kebelakangan ini dan mendapat sokongan ramai walaupun sudah ditubuhkan pada tahun 1998,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau bagaimanapun tidak menolak barisan pemimpin yang menjadi tulang belakang PKR selama ini dilihat menjadi faktor dengan proses kematangan ini.

Jelas beliau, jika hanya bersandarkan pemimpin utama seperti Anwar atau seorang dua dalam parti itu menjana idea memang boleh tetapi ia hanya akan bersifat umum.

Sebaliknya katanya lagi, PKR menggunakan pendekatan menggunakan pakar-pakar dari pelbagai bidang dan duduk berbincang untuk memberikan input.

“Golongan pemikir di belakang pembentukan manifesto PKR dan banyak menjurus kepada apa yang diterjemahkan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Jayum turut mengulas dalam masa sekarang, ahli-ahli politik sama ada dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang, mereka sudah terbabas dalam proses berpolitik dalam usaha untuk memenangi hati rakyat.

“Mereka saling tembak-menembak di antara satu sama lain. Bila PR buat sesuatu BN kata tak bagus dan begitulah sebaliknya.

“Saya rasa itu semua permainan kanak-kanak. Sepatutnya kalau nak menunjukkan kehebatan mereka keluarkan perancangan yang ingin dilaksanakan, bentangkan falsafah dan dasar yang ingin dilaksanakan. Barulah rakyat yang sudang matang itu akan menilai yang mana satu yang baik,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Azizudin Mohd Sani turut mengakui bahawa PKR dapat mengatur strategi politiknya dalam tempoh lima tahun lalu sebaik mungkin terutamanya menyusun strategi dan cuba merayu undi kepada golongan muda.

Azizudin berkata, dalam mencapai hasrat mereka itu, parti yang wujud melalui reformasi turut menampilkan calon-calon yang terdiri daripada golongan muda untuk menarik perhatian golongan terbabit.

“Sasaran PKR pada 2008 adalah sama dengan 2013 dan ia dapat jelas dilihat melalui kempen-kempen yang dianjurkan banyak menjurus kepada golongan muda dan profesional – manifesto juga menuju ke arah itu apabila penekanan diberikan kepada isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kempen turunkan harga kereta,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Bersekutu Majlis Profesor Negara berkata, antara faktor keberkesanan startegi itu disebabkan PKR sentiasa membuat kajian dan itu merupakan kekuatan yang akan menentukan tentangan pada sesebuah parti.

Katanya, walaupun politik perkauman masih ada namun, penumpuan itu telah difokuskan kepada isu yang lebih universal.

“Misalnya mereka menyasarkan sokongan kepada golongan pertengahan kerana mereka tahu strategi politik mereka akan berkesan ialah menyentuh perkara yang berkaitan dengan kehidupan seharian rakyat terutamanya bagaimana cara untuik menaikkan taraf hidup.

“PKR sedar golongan pertengahan merupakan golongan yang terbesar di Malaysia iaitu melebih separuh penduduk Malaysia, jadi dengan menyasarkan golongan ini maka sokongan akan berpihak kepada mereka,” katanya lagi.

Ketika mengulas mengenai taktik menangkis isu pula, PKR dilihat lebih bersedia kerana parti itu membuat kajian berhubung isu yang dibangkitkan dan bagaimana cara untuk menjawab isu-isu tersebut.

PKR katanya, banyak menggunakan data berbanding menangkis isu berhubung sentimen agama dan sebagainya.

“Kalau ada isu tertentu, PKR akan membawanya ke mahkamah. Walaupun ia tidak mampu untuk  menang tetapi ia mampu memberikan persepsi kepada rakyat bahawa mereka benar.

“Kelebihan PKR ini tidak juga dinafikan dengan penglibatan pemimpin muda seperti Rafizi Ramli, Nik Nazmi dan Nurul Izzah. PKR mengemukakan calon-calon yang dinamik dan energetik seperti ini,” katanya lagi.

Mengulas perkara sama, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula berpendapat, disebabkan PR khasnya PKR bijak dalam percaturan strategi ini, parti pemerintah juga dilihat terikut-ikut dnegan ‘paluan gendang’ yang dipalu oleh PR.

Sedangkan katanya, pilihan raya sememangnya ingin dilakukan pada bila-bila masa dan secara  kebetulan berlaku perkara lain dari yang dirancang.

Katanya lagi, tempoh lima tahun itu turut menyaksikan kematangan kerajaan dan Parlimen kepada satu tempoh yang boleh bersidang berakhir sepatutnya.

Beliau menambah, walaupun PKR dilihat bijak mengatur strategi terutamanya untuk menangkis isu, namum banyak isu yang timbul sama ada dibangkitkan oleh PKR ataupun yang berlaku sendiri masih tidak selesai.

“Misalnya isu pembangunan yang diwar-warkan di Pulau Pinang, isu air di Selangor termasuk isu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga berhadapan dengan masalah dan menimbulkan tanda tanya.

“Malahan di antara parti komponen masih ada pendirian lain isu siapa Perdana Menteri juga masih belum ada ketetapan ramsi, itu pun sekiranya mereka menang pada pilihan raya nanti,” jelas beliau.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707