Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

PAS - PR 2.0 kena ada hitam putih yang dipersetujui semua pihak.

$
0
0
Takiyuddin Hassan
SHAH ALAM - Kerjasama politik yang bakal membentuk PR 2.0 perlu ada perjanjian hitam putih yang dipersetujui semua pihak.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu penting bagi mengelak sebarang masalah pada masa depan.

"Saya rasa bukan sahaja Pas, semua sekali perlu lebih berhati-hati dan lebih jelas sesuatu perkara yang boleh dan tak boleh dibuat, perkara yang disepakati itu perlu ada hitam putih.

"Barulah mudah, tiada masalah pada masa hadapan. Bukan sahaja kepada Pas, kepada semua pihak," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Mengulas soal kenyataan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang menegaskan mahu meneruskan kerjasama dengan Pas dalam PR 2.0, Takiyuddin berkata, perkara itu perlu mendapat persetujuan semua pihak yang berada dalam pakatan itu.
"Apa pun, ia perlukan perbincangan dengan pihak-pihak yang nak menubuhkan sesuatu pakatan. Pakatan ini umpama perkongsian atau 'partnership'.

"Jadi untuk menubuhkan sesuatu perkongsian itu, mestilah mendapat konsensus atau persetujuan daripada semua pihak," katanya.

Namun, menurutnya setakat ini tiada mana-mana pihak mengadakan rundingan dengan Pas berkaitan penubuhan pakatan baharu itu.

"Sekiranya ada rundingan dengan PKR atau mana-mana pihak, kita kena lihat dulu. Sebab dalam suasana sekarang ini, kita (Pas) tidak dalam keadaan mendesak untuk menyertai mana-mana pakatan.

"Jadi, jika ada mana-mana pihak nak tubuhkan pakatan kedua ke apa semua itu, yang penting sekali bagi Pas adalah kita dipanggil berunding, berbincang supaya semua pihak boleh menentukan apa-apa terma syarat dan sebagainya.

"Jadi, saya percaya pakatan itu hanya boleh ditubuhkan setelah semua ahli-ahli dalam pakatan itu bersetuju dengan tujuan, modus operandi dan sebagainya, barulah boleh ditubuhkan pakatan itu," katanya.

Kelmarin, DAP menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, parti itu tidak akan berbaik dengan Pas buat masa ini walaupun Azmin Ali berhasrat meneruskan kelangsungan kerjasama politik dengannya dalam gabungan PR 2.0.

Dalam pada itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan telah bertemu dengan pemimpin Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dalam satu mesyuarat tertutup bagi membincangkan pembentukan pakatan baharu.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707