
JITRA - Banjir besar yang melanda sebahagian besar daerah di Kedah pada penghujung 2010 dianggap antara bencana terburuk di utara Semenanjung Malaysia dalam tempoh 100 tahun ini.
Dalam kejadian awal November itu, ibu negeri Kedah, Alor Setar seakan-akan lumpuh apabila lebih 50,000 penduduk terpaksa dipindahkan, manakala laluan darat ditutup.
Lebih malang, penduduk tempatan terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta benda awam dan kediaman di samping empat individu termasuklah seorang warga Jerman kehilangan nyawa dalam banjir tersebut.
Disebabkan itu, sebanyak sembilan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dengan kos projek RM2.39 bilion diluluskan mengikut Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) dibuat bagi mengelakkan sejarah banjir besar ini berulang.
Sinar Harian berpeluang meninjau perkembangan projek RTB Sungai Tanjung Pauh, Kelubang, di sini bersama Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), semalam.
RTB Sungai Kedah- Anak Bukit atasi banjir
Timbalan Pengarah JPS, Ir Baharuddin Abdullah berkata, faktor banjir besar yang berlaku pada 2010 diambil kira dalam perlaksanaan tiga projek tebatan banjir di Alor Setar, Pendang dan Bandar Baharu.
Menurutnya, RTB Sungai Kedah- Anak Bukit membabitkan tiga fasa iaitu Sungai Kubang Rotan, Lencongan Sungai Baru dan Sungai Tanjung Pauh dilaksanakan bagi menangani masalah banjir di Alor Setar.
“Fasa pertama, menaik taraf Sungai Kubang Rotan sudah siap 100 peratus, diikuti pembinaan lencongan Sungai Baru dan menaik taraf Sungai Anak Bukit (fasa kedua) dijangka siap pada Mei 2016.
“Fasa ketiga membabitkan kerja menaik taraf Sungai Tanjung Pauh bermula pada November 2014 dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Menurutnya, fasa 1 kos projek RTB Sungai Kedah-Anak Bukit menelan belanja RM13 juta, manakala fasa kedua sebanyak RM132 juta diikuti RM108 juta diperuntukkan bagi fasa tiga.
Dalam pada itu katanya, spill wave dibina di RTB Sungai Tanjung Pauh bagi memudahkan aliran air dari sungai-sungai terlibat keluar terus ke Sungai Kedah berbanding sebelum ini.
Penduduk terlibat diminta beri kerjasama
Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, kos peruntukan bernilai RM350 juta turut diluluskan untuk perlaksanaan RTB Pendang.
Buat masa ini katanya, RTB Pendang berkenaan dipercayai masih dalam proses reka bentuk pelan, namun perkembangan projek diyakini akan mula dilaksanakan tahun depan.
Menurutnya, projek tebatan banjir sering dikaitkan dengan isu pengambilan tanah, untuk itu perbincangan bersama pihak-pihak berkaitan dilakukan bagi menyegerakan RTB berkenaan.
Namun begitu katanya, penduduk di tanah rizab kerajaan di projek tebatan banjir ditawarkan pampasan sebanyak RM42,000 untuk meringankan bebanan mereka.
"Kami mengharapkan penduduk menerima notis memberi kerjasama bagi melaksana projek berkenaan agar kejadian lepas tidak berulang," katanya.
Badrol berkata, mereka mungkin terpaksa mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penduduk terlibat, seandainya mereka berkeras enggan berpindah.
"Tindakan itu terpaksa diambil bagi memastikan perkembangan projek tebatan banjir di negeri ini siap mengikut jadual ditetapkan.
Badrol berkata, dia yakin projek tebatan berkenaan mampu memberi kesan baik terhadap kawasan kerap dinaiki air apabila ia siap sepenuhnya nanti sekali gus mengelakkan kejadian banjir besar berulang.