PKR bakal mengadakan persidangan meja bulat pada Selasa depan bagi membincangkan pembetukan pakatan pembangkang baharu.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya sejak sebulan lalu sudah mengambil inisiatif untuk bertemu dan berbincang dengan pimpinan parti pembangkang .
Ketua pembangkang itu berkata, usaha pembentukan pakatan baharu amat penting kerana krisis politik dan skandal membabitkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Muktahir ini, pelbagai kemelut negara akibat ketempangan kepimpinan kerajaan Najib sebagai perdana menteri membebankan rakyat.
" Rakyat meletakkan harapan yang tinggi supaya parti-parti pembangkang di negara ini bersatu dalam sebuah pakatan yang harmoni demi tujuan bersama membela rakyat dan menewaskan Umno/Barisan Nasional," kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga membayangkan pertemuan yang dilakukan pihaknya menerima reaksi positif parti pembangkang lain.
"Alhamdulillah melalui pertemuan-pertemuan ini, saya yakin ada kesepakatan yang kukuh ke arah membentuk sebuah pakatan pembangkang baru seperti yang dikehendaki rakyat," katanya.
PKR dikritik penyokong pembangkang kerana mengajak PAS menyertai pakatan pembangkang baharu kerana parti Islam itu dianggap sebagai punca Pakatan Rakyat berpecah Julai lalu.
PAS bertelingkah dengan DAP berhubung rang undang-undang hudud Kelantan dan pilihan raya majlis tempatan pada 6 bulan pertama tahun ini.
Tahun lepas, hubungannya dengan PKR tegang selepas beberapa pemimpin konservatif PAS menarik balik janji mereka menyokong langkah menukar menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Muktamar PAS pada Jun menyaksikan pemimpin-pemimpin progresif yang menyokong Pakatan Rakyat ditewaskan.
Kumpulan progresif dipimpin Mohamad Sabu akhirnya menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dilancarkan pada 16 September sempena Hari Malaysia. – 17 September, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pkr-adakan-persidangan-meja-bulat-bincang-pakatan-pembangkang-baharu#sthash.ksf4fw8q.dpuf