
Meskipun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah), namun PKR tetap akan meneruskan usaha rundingan membentuk gabungan pembangkang baharu bersama parti Islam itu.
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata partinya sentiasa menawarkan diri untuk mengetuai rundingan tersebut agar permuafakatan dapat dijalinkan.
"Tidak apa. Kita akan terus ajak berbincang dan kita kira tidak ada rugi PKR mengetuai rundingan supaya diwujudkan keharmonian dan kerjasama baik ," katanya selepas majlis penyerahan lembu korban sumbangan kerajaan negeri di perkarangan bangunan Sultan Idris Shah di Shah Alam Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Hadi yang menolak menjalinkan kerjasama politik dengan Amanah atas alasan pengkhianatan kepada PAS.
Sebelum ini PKR tetap dengan pendirian mengajak PAS menyertai gabungan pembangkang baharu yang turut disertai Amanah dan DAP.
Malah, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pertemuan meja bulat antara parti pembangkang yang akan diadakan pada Selasa depan yang turut dihadiri PAS. – 18 September, 2015.
MENYUSUL LAGI
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pkr-tetap-ajak-pas-bincang-pakatan-baharu-walaupun-hadi-keras-kata-azmin#sthash.HdoxFEQx.dpuf