
LEDANG - Bibit perkauman yang sudah mula ditunjukkan di negara ini perlu dihentikan segera bagi mengelakkan menjadi barah yang akan merosakkan keharmonian negara.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai sebuah negara yang sudah lama merdeka perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku kerana Malaysia dimiliki oleh semua kaum sebagai rakyat di negara ini.
"Ia tidak boleh dipandang ringan dan jika berlarutan akan menerbitkan sifat perkauman yang menebal yang menyebabkan mereka saling mencurigai antara satu sama lain.
"Lebih memburukkan keadaan kerana sentimen ini dibuat oleh pemimpin politik yang mahu berlagak seperti hero, sedangkan tindakan itu telah membuatkan rakyat berasa takut serta tidak selama berada dalam negara ini," katanya ketika berucap pada program Membara Jasamu Dikenang, Umno Bahagian Pagoh 2015, Dewan Geliga Gersik, di sini hari ini.