
PAS masih belum bersedia memulakan proses perbincangan menubuhkan gabungan pakatan baharu walaupun tidak pernah menutup pintu rundingan dengan bekas sekutunya, kata Naib Presiden Datuk Iskandar Abdul Samad.
Beliau dilaporkan Sinar Harian hari ini sebagai berkata, parti itu belum membincangkan tawaran PKR berhubung kerjasama baharu antara parti politik pembangkang bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang terkubur baru-baru ini.
“Buat masa ini kita perlu ‘cool down’ terlebih dahulu, sebelum ‘settle down’. Masih terlalu awal. Saya akui tidak ada parti akan berjaya dalam pilihan raya sekiranya bergerak sendiri.
"Namun, dalam kerjasama itulah akan tercetusnya perbezaan pandangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Mesra Dewan Perhimpunan Penyokong Pas (DHPP) 1.0 di Klang semalam, lapor akhbar itu.
Iskandar mengakui yang sesebuah parti mungkin boleh kekal berkuasa di satu-satu negeri seperti di Pulau Pinang dan Kelantan, namun ia tidak akan berjaya di peringkat nasional.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini mengakui PAS, PKR, DAP dan parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) adalah satu gabungan pembangkang.
Namun kata Takiyuddin, itu tidak bermakna PAS sudah menjalinkan semula hubungan dengan DAP dan mengiktiraf Amanah, yang dianggotai bekas pemimpin progresif parti itu. – 20 September, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-perlukan-masa-terlalu-awal-sertai-gabungan-pembangkang-baharu#sthash.yMSJ4qsS.dpuf