Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Kerajaan negeri sentiasa mementingkan pendidikan

$
0
0
Bantuan pendidikan adil kepada semua
 

SUNGAI PETANI – Kerajaan Negeri Kedah sentiasa prihatin terhadap pendidikan di negeri Kedah apabila menyediakan pelbagai sumbangan dan bantuan kepada sekolah-sekolah persendirian dan pelajar-pelajar yang memerlukan.

Pengerusi Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, kerajaan negeri sentiasa mementingkan pendidikan kerana pendidikan diperlukan oleh setiap insan dan tidak mengira fahaman politik.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian basikal dan beg sekolah kepada pelajar yang memerlukan, di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Sidam, Pekan Lama, di sini.

“Pendidikan amat diperlukan oleh setiap insan bagi membentuk masyarakat yang harmoni. Kita akan sentiasa membantu insan yang memerlukan bantuan. Maka, gunakanlah bantuan yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Bantuan yang diberikan bukanlah duit kerajaan negeri, kerana ianya merupakan duit rakyat yang diuruskan oleh kerajaan negeri untuk disalurkan kepada rakyat semula,” katanya.

Beliau berkata, jangan ada yang tersingkir daripada pendidikan kerana ada juga segelintir yang tidak dapat ke sekolah kerana mempunyai masalah dan ada ibu bapa yang menggunakan anak-anak mereka yang masih bersekolah untuk mencari pendapatan dengan bekerja. Ini merupakan sesuatu yang salah di sisi undang-undang.

Kerajaan negeri mempunyai Tabung Tunku Mahmud yang boleh digunakan untuk membantu pelajar yang memerlukan. Maka, sesiapa yang mempunyai masalah berkenaan dengan pendidikan bolehlah berjumpa dengan wakil kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Kita mahu setiap keluarga di negeri Kedah ini mempunyai anak yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Jika setiap keluarga mempunyai anak-anak yang berpendidikan maka ianya dapat membentuk keluarga yang bahagia.

“Dalam bidang pendidikan ini, kita juga menyumbangkan RM400 untuk pelajar yang menyambung pelajaran peringkat ijazah dan untuk diploma pula RM200. Untuk mendapat sumbangan ni pelajar tersebut perlulah membawa surat tawaran belajar kepada wakil kerajaan negeri seperti PKWR setempat,” katanya.

Tambahnya, selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan Kolej Universiti Insaniah kepada sesiapa yang mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Ianya untuk semua kaum dan bukannya hanya untuk orang Islam sahaja. Banyak kursus di tawarkan di sana.

Kerajaan negeri juga membantu sekolah-sekolah persendirian dengan menyediakan tanah untuk sekolah-sekolah tersebut mengusahakannya selama 30 tahun. Setiap hasil yang diperolehi boleh digunakan oleh pihak sekolah. Inilah komitmen kerajaan negeri dalam bidang pendidikan dan inilah pembaharuan yang dilakukan.

Sementara itu, dalam majlis tersebut seramai seratus pelajar menerima basikal dan beg sekolah mereka adalah daripada golongan yang berpendapatan rendah dan memerlukan dari DUN Sidam dan DUN angkat Bakar Arang.

Turut hadir, ADUN Sidam YB Tan Chow Kang dan wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Encik Muhammad Azam Ismail.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707