
SUNGAI PETANI – Kerajaan perlu rasa bersalah sekiranya tidak dapat menyelesaikan masalah makanan, tempat tinggal dan pakaian kepada rakyatnya, selain memastikan perlindungan, pendidikan dan tuntutan kesihatan.
“Selain semuanya itu menjadi tanggungjawab pemerintah, bantuan dari NGO-NGO juga sangat penting dalam membantu kerajaan merealisasikan kebajikan kepada rakyat.
“Saya cukup menghargai usaha NGO yang begitu mengambil berat hal-hal kebajikan rakyat seperti menyediakan rumah dan perlindungan kepada warga emas, anak-anak yatim, OKU dan lain-lain yang memerlukan bantuan,” ucap Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.
Katanya lagi, masyarakat perlu memahami konsep kebajikan yang sebenar dan kerajaan negeri tidak terlepas pandang mengatur pelbagai program untuk mencapai hasrat melahirkan masyarakat sejahtera .
“Dalam soal kebajikan ini, mustahil kerajaan boleh memikul tanggungjawab itu sendirian tanpa bantuan dari NGO-NGO dan individu-individu lain.
“Tolong menolong antara orang kaya dan orang kurang berkemampuan ini akan melahirkan budaya yang sihat. Secara tidak langsung sikap orang kaya yang sombong dan kebencian orang miskin kepada orang kaya akan terhakis,” tambahnya lagi.
Berucap merasmikan Mesyuarat Agong Majlis Kebajikan Negeri Kedah (MKNK) kali ke 8, beliau menjelaskan konsep zakat yang diperkenalkan oleh Islam sangat sesuai dan menepati dalam merealisasikan kebajikan kepada yang memerlukan. Lapan asnaf yang boleh menerima zakat, antaranya orang fakir, miskin dan orang berhutang.
Sambungnya lagi, sekarang orang terpaksa berhutang untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana kebanyakan rawatan yang ditawarkan adalah dalam bentuk komersial. Membantu mereka yang berhutang untuk tujuan berkenaan adalah menjadi tanggungjawab masyarakat dan dalam situasi tersebut mereka layak menerima zakat.

“Bagi saya konsep kebajikan itu perlu difahami oleh semua orang. Kita sering buat kenduri, tak kiralah di mana, masjid atau di mana-mana tapi dalam pada masa yang sama jiran sebelah rumah kita mempunyai anak yang cerdik tapi tak dapat melanjutkan pelajaran kerana kemiskinan. Maka di sini tanggungjawab kita membantu agar anaknya boleh melanjutkan pelajaran.
“Orang yang cerdik ini perlu diberi laluan sebaiknya. Kita jangan pula cemburu pula. Dia cerdik, suatu hari nanti boleh memberi manfaat kepada negara kita. Akal yang cerdik dan pintar ini akan membawa pulangan yang baik kepada masyarakat. Itulah sebabnya Islam melarang kita merosakkan akal kita dengan perkara-perkara seperti dadah dan arak,“ terang Azizan.
Beliau turut membawa contoh, semasa pemerintahan Saidina Omar Al-Khatab, di mana kejadian yang berlaku seorang Yahudi ketika mudanya memberi khidmat kepada masyarakat tetapi setelah tua beliau terpaksa meminta sedekah. Mengetahui hal sedemikian, Saidina Omar membawa Yahudi berkenaan ke pejabat agama dan mengarahkan beliau diberi elaun bulanan, bahkan kepada sahabat-sahabat senasibnya juga menerima habuan yang sama.Tindakan yang dilakukan oleh Saidina Omar itu membuktikan keadilan Islam kepada semua.Walau pun yahudi itu musuh kepada Arab ketika itu tetapi atas nama rakyat Madinah, beliau layak menerimanya.
“Di Kedah, kita nak lakukan seperti itu. Kebajikan kepada rakyat tidak mengira siapa samada kawan atau musuh, yang penting dia layak. Begitu juga dengan bangsa-bangsa lain. Saya ada seorang Pegawai Khas dari kalangan orang Tiong Hua. Saya minta dia menjadi wakil saya untuk mengetahui apa yang masyarakat Cina mahu atau tak puas hati dengan saya.
“ Itulah konsep kebajikan yang kita kena faham. Tak ada dikriminasi, walau pun musuh, tak sehaluan dalam fahaman politik tapi sekiranya dia berhak, kerajaan kena tunaikan,“ tambahnya.
Kuwait sebagai contoh, katanya, cukai dan cukai jalan tidak perlu bayar tapi di Kedah kemampuan amat terhad. Kerajaan negeri dapat menunaikannya mengikut kemampuan yang ada. Jesteru beliau memohon maaf, sekiranya ada yang terabai, walau bagaimana pun kerajaan negeri akan lakukan yang terbaik untuk rakyat.
“Ini adalah amanah, kalau kita tak buat kita khianat. Tapi untuk melahirkan sebuah negara yang baik dan mendapat rahmat dari Allah, semua dikalangan kita perlu faham konsep kebajikan yang sebenar agar kebajikan itu menjadi sebahagian dari hidup kita.
“ Saya juga mengambil kesempatan di sini mengucapkan ribuan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada NGO yang banyak membantu kerajaan dalam kerja-kerja kebajikan dan saya berharap semua NGO yang ada ini dapat menambah baikan dari masa ke semasa supaya slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua dapat direalisasikan dengan baik,“ katanya mengakhiri ucapan.
Mesyuarat Agong Majlis Kebajikan Negeri Kedah diadakan di Hotel Amanpura, di sini. Sempena mesyuarat berkenaan, seramai empat orang telah dikurniakan Anugerah JasaMu DiKenang sebagai penghargaan kerja-kerja kebajikan yang mereka curahkan kepada masyarakat.
Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’Ustazah Siti Ashah Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB Abdullah Jusoh, ADUN Jeneri, YB Dato’ Yahya Abdulah, Pengarah JKM Negeri Kedah, Zulkifli Ismail, Pengerusi
Tetap MKNK, Dato’Mufti Abdullah dan wakil JKM Kuala Muda, Elias Suib.