Ucapan Tuan Guru Presiden PAS dalam perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong adalah perbahasan yang penuh dengan ilmiah dan dakwah di arena politik.
Kecelaruan pemikiran dan politik yang bertunjangkan persepsi dan politik tanpa akhlak telah menjadikan sebahagian ahli politik dan individu dalam keadaan gerhana sehingga tidak nampak kebenaran jauhlagi untuk memahami.
Tuan Guru Presiden PAS cukup prihatin dan amat bimbang dengan perkembangan mutakhir yang dihadapi dunia Islam. Tidak dinafikan masyarakat semakin celik politik dan terbuka ditambahlagi dengan penyebarluasan penggunaan media baru yang memberi peluang kepada semua pihak untuk memberi pendapat dan menyuarakan pandangan. Bahkan media baru berjaya dari satu sudut membangkitkan kesedaran rakyat untuk menentang kezaliman dan penindasan serta korupsi.
Namun begitu, kebangkitan rakyat hendaklah dipandu dengan cara betul agar penentangan untuk melawan kezaliman dan kepincangan pemerintah yang dibenci oleh masyarakat masakini benar-benar menatijahkan yang sepatutnya dan juga tidak terjadi sebaliknya.
Kebimbangan Tuan Guru Presiden PAS ada asasnya yang sangat kukuh apabila contoh dan pengalaman rakan-rakan perjuangan seperti kita di negara luar khasnya negara Islam Arab yang tercetusnya Arab Spring beberapa tahun yang lalu.
Arab Spring berjaya membangkitkan semangat rakyat menentang pemerintah korup dan zalim tetapi kebangkitan itu dicemari dengan pelbagai masalah yang lebih negatif dan buruk kepada negara dan rakyat itu sendiri.
Pengalaman ini hendaklah diambil pengajaran oleh semua dalam negara ini bahawa apa sahaja usaha-usaha menjatuhkan kerajaan oleh rakyat disebabkan rekod kezalimannya dan korupsinya, usaha itu hendaklah dipastikan agar tiada ruang walaupun sekecil kepada ketidakstabilan dan keamanan bahkan sehingga adanya peperangan dan pertumpahan darah.
Musuh-musuh terhadap dunia Islam sentiasa melihat peluang-peluang yang memungkinkan mereka mengambil kesempatan untuk membawa kemusnahan dan ketidakstabilan dalam negara umat Islam tanpa bersusah payah mereka memperhambakan dunia Islam dengan kekuatan ketenteraan dan juga menghabiskan modal mereka yang banyak.
Mereka hanya dengan melakukan provokasi dan dakyah yang akhirnya dunia Islam musnah dan binasa hanya kerana tindakan rakyat dalam negara umat Islam itu sendiri. Yang untungnya ialah kuasa-kuasa besar dunia dan musuh Islam bersenang lenang dan bersorak gempita melihat apa yang berlaku di negara umat Islam di serata dunia.
Maka, Tuan Guru Presiden PAS dalam ucapannya ketika membahas Titah Ucapan Perasmian Persidangan Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong menyebut berkenaan hal pemecatan dengan jelas maksud dan tujuannya, iaitu tidak mahu agar terjadinya sebagaimana negara luar yang tercetusnya Arab Spring dan lain-lainnya.
Kita lihat bahawa penukaran dan perubahan kepimpinan sesebuah negara hendaklah dipastikan dengan cara demokratik dan aman bukan jalan pintas atau "short cut" yang sudah tentu menimbulkan ketidakpuasan yang memungkinkan timbul bibit-bibit dendam dan juga permusuhan hatta peperangan.
Sistem demokrasi yang bertunjangkan perlembagaan yang didukungi bersama oleh semua rakyat di negara ini tidak kira agama, latar belakang politik hendaklah dipatuhi semua pihak, kerana inilah punca kestabilan dan asas kepada terbinanya negara yang tercinta ini.
Dengan mengikut perlembagaan yang betul, maka tangan-tangan jahat musuh negara dan musuh dunia Islam tidak mampu menyusup masuk untuk mengambil peluang dalam ruang yang tidak stabil dan tidak demokratik bahkan dijadikan hujah kepada campurtangan asing.
Oleh itu, Tuan Guru Presiden PAS juga pernah menasihatkan dalam ucapan beliau di Multaqa Alumni Al-Azhar yang lepas bahawa masalah negara ini hendaklah diselesaikan dengan harmoni dan tak perlu diminta bantuan pihak luar atau campur tangan asing.
Marilah, kita fahami politik matang dan sejahtera yang didokongi oleh PAS dengan hati terbuka dan berlapang dada.
Semangat kita untuk pastikan turunnya pemimpin yang korup dan zalim itu sememangnya positif, namun kegelojohan dan kegopohan kita mampu menafikan natijah yang kita kehendaki.
Lihatlah firman Allah s.w.t. dalam surah al Baqarah ayat 214 (maksudnya): "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)".
Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor
10 Mac 2016 bersamaan 29 Jamadil Awal 1437 - HARAKAHDAILY 10/3/2016