Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Apa erti ekonomi naik tapi rakyat tetap merempat?

$
0
0
Oleh SHIRZAD LIFEBOAT

Minggu lalu hampir semua akhbar arus perdana milik BN menyiarkan isu khas bagi mempromosikan angka prestasi ekonomi Malaysia bersumberkan pelbagai maklumat rasmi dikeluarkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

Angka selalunya tidak berbohong. Memang ada desas-desus mengatakan ada sesetengah perangkaan yang kurang tepat tetapi sengaja digunakan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak bagi memperindahkan khabar dari rupa sebenarnya.

Cakap-cakap seperti ini tentulah mengingatkan kita akan kata-kata Benjamin Disraeli (Perdana Menteri Great Britain, 1874-1880) ketika berdepan musuh politik beliau dari kalangan Parti Buruh dan Parti Liberal yang menjadi kerajaan selepas era beliau dan ketika mana Disraeli cuba memenangi kembali kedudukannya sebagai kerajaan. Kata Disraeli: “Terdapat tiga jenis pembohongan: pembohongan, pembohongan terkutuk, pembohongan perangkaan.”

Namun, benarkah tohmahan ini, hanya Najib dan mereka yang terlibat sahaja mengetahuinya. Kita tentu sekali tidak boleh membuat tuduhan sembarangan. Apa yang jelas ialah angka tersebut, sama ada betapa gah dan indah sekalipun, dan tepat dan benar sekalipun, ia sebenarnya sama sekali tidak relevan untuk kebanyakan rakyat biasa Malaysia.

Lebih malang lagi buat BN, angka-angka yang dipertontonkan oleh media mereka itu tidak langsung membantu, baik untuk Najib dalam usahanya untuk memperbaiki pengkadaran populariti beliau yang kian merudum, mahupun untuk BN mengubah nasib nyawa-nyawa ikan mereka dalam PRU13.

Mungkin ada kebenarannya betapa pelaburan telah meningkat dari 18% pada 2009 kepada 26% pada 2012 daripada KDNK kita. FDI juga menunjukkan peningkatan dari RM5.0 bilion pada 2009 kepada RM34.8 bilion pada 2012.

Nak cerita tentang projek kerajaan, pelbagai projek mega kerajaan sedang dilaksanakan (walaupun pada akhirnya tidak jelas bagaimana projek tersebut boleh memanfaatkan rakyat biasa). Ini belum lagi diambil kira projek-projek yang dijanjikan Najib dan rakan-rakannya sewaktu roadshow menjelang kempen PRU13.

Tidaklah jelas sama ada kerajaan BN yang memerintah Malaysia selama 56 tahun, atau hanya Najib seorang sahaja, yang tidak faham betapa populariti kerajaan tidak sama sekali terletak kepada prestasi ekonomi negara. Maknanya, prestasi ekonomi negara per se tidak akan menyebabkan rakyat sukakan kerajaan.

Dalam lain perkataan, kerajaan boleh mencatatkan prestasi ekonomi sehebat Qatar, ataupun Luxembourg atau seperti jiran Singapura, namun ia menjadi tidak bermakna sama sekali untuk rakyat sekiranya kekayaan dan pertumbuhan ekonomi hebat itu tidak dapat dinikmati secara jelas dan sahih oleh mereka.

Misalnya, dalam tempoh tiga tahun lalu, pendapatan per kapita kasar negara meningkat sebanyak 12% dari RM24,879 pada 2009 kepada RM30,809 pada 2012. Jika pertumbuhan ini diagihkan di kalangan syarikat dan penerima gaji, maka setiap penerima gaji sepatutnya menerima pertambahanan pendapatan sebanyak setidak-tidaknya 25% berbanding tiga tahun terdahulu.

Malangnya sebagaimana ditunjukkan perangkaaan kerajaan sendiri dalam kelulusan dan pemberian BRIM 1.0 (sebanyak RM2.6 bilion untuk 5.2 juta keluarga) menjelaskan tanpa keraguan betapa setinggi 80% daripada sejumlah 6.4 juta keluarga di Malaysia mempunyai pendapatan bulanan kurang dari RM3,000 sebulan. Angka ini tentulah amat berbeza dari pendapatan perkapita kasar negara pada 2012 sebanyak RM30,809.

Keadaan ini diperburukkan lagi oleh harga pengguna yang gagal dikawal kerajaan serta susutan nilai ringgit dari masa ke masa. Dalam masa 10 tahun kebelakangan Bank Dunia menganggarkan purata pertambahan gaji di Malaysia adalah kira-kira 2.6 peratus yang mana lebih rendah dari kadar inflasi sebanyak 2.8 peratus.

Semua ini memberi petunjuk dan bukti jelas betapa gaji sebenar rakyat Malaysia telah berkurangan dalam tempoh 10 tahun tersebut.

Jumlah banyaknya gaji yang diterima sebenarnya tidak membawa apa-apa kesan sekiranya faktor-faktor lain tidak dikawal dan diuruskan dengan cekap, baik dan ikhlas.

Pada 1978 gaji permulaan siswazah ialah kira-kira RM1,100 berbanding RM2,500 pada 2010. Namun pada 1978, ia memerlukan 56 bulan gaji permulaan untuk membeli sebuah rumah dua-tingkat di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur (pada harga RM62,000).

Pada 2010 dan dengan peningkatan gaji permulaan siswazah sebanyak lebih dari dua kali ganda, ia memerlukan 140 bulan gaji permulaan tersebut bagai membeli sebuah rumah teres dua tingkat di Nilai, Negeri Sembilan pada harga RM350,000.

Ini baru cerita tentang rumah. Belum lagi tentang kereta, tentang beras, tentang minyak petrol, tentang gula, ikan, sayur ayam, tentang kos persekolahan anak-anak dan kos pembelajaran di IPT dan 1,001 lagi barangan dan perkhidmatan asas untuk hidup setidak-tidaknya dengan sempurna, kalaupun tidak selesa atau kaya.

Maknanya, apalah gunanya negara mempunyai pelbagai infrastruktur bertaraf dunia atau hatta bertaraf galaksi Bimasakti sekalipun tetapi rakyatnya hidup sengsara dengan pendapatan menghampiri kais pagi makan pagi malah ada yang sudah sampai taraf kain pagi makan petang.

Justeru, BN menerusi medianya boleh melukiskan segala informasi dan perangkaan ekonomi secara paling indah dan bertaraf "masterpiece". Namun sekiranya ia tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat, maka ia hanya akan menyebabkan BN menjadi semakin tidak bermakna kepada mereka.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707