
Menjelang Pilihanraya Umum ke 13 ini, suasana politik negara kembali menjadi hangat dengan pelbagai isu dan spekulasi tentang kalah menang parti-parti yang bertanding.
Begitu jugalah dengan suasana di negeri Terengganu yang secara tradisinya merupakan antara negeri yang paling sengit pertarungan politik berlaku khususnya di antara dua parti Melayu terbesar iaitu Pas dan Umno. Timbul kembali persoalan, apakah suasana arus dan perubahan dalam politik negara sekarang akan kembali berjaya memacu kemenangan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ‘Penyu Bertelur’ ini?
Persoalannya, apakah ‘faktor penentu’ kepada perubahan landskap politik tanah air akan juga mempengaruhi pengundi-pengundi dalam pilihan raya yang dianggap sebagai "ibu kepada segala pilihan raya" ini?
Begitu juga dengan persoalan, apakah rakyat Terengganu juga telah bersedia untuk melakukan perubahan besar dalam pilihan raya ini dengan pelbagai isu nasional dan tempatan yang boleh mempengaruhi pengundi?
Namun persoalan besar di Terengganu adalah, apakah isu yang akan dapat mempengaruhi sebahagian besar pengundi Melayu untuk memberi undi dan sokongan kepada mana-mana parti yang bertanding dalam pilihanraya akan datang ini?
Apakah ianya menyentuh persoalan ekonmi dan kemiskinan rakyat; apakah ia akan menyentuh persoalan rasuah dan salah-tadbir parti yang memerintah; atau apakah isu kewibawaan calon dan ketelusan memimpin akan menjadi faktor penentu di negeri Terengganu ini?
Bagi saya, kini pada umumnya rakyat Terengganu mahukan kepada perubahan. Warga Terengganu di perantauan khususnya golongan intelek dan koperat juga amat mengharapkan perubahan besar berlaku di Terengganu dalam PRU ke 13 akan datang.
Rasa tidak puas hati terhadap gaya pentadbiran Menteri Besar Datuk Sri Ahmad Said di kalangan Penjawat Awam di Terengganu juga adalah amat ketara.
Beliau dilihat gagal mentadbir dengan baik dan telus serta gagal memacu perkembangan ekonomi negeri sepanjang penggal pemerintahan beliau sebagai Menteri Besar walaupun negeri ini kaya dan terkenal dengan hasil kekayaan minyak dan gas.
Yang nyata, kelemahan kerajaan negeri pimpinan beliau kini sedang menjadi perbualan umum kebanyakan rakyat termasuk dikedai-kedai kopi.
Begitu juga dengan pembelaan kepada rakyat khususnya golongan termiskin yang dihimpit dengan kenaikan kos kehidupan harian yang amat ketara di seluruh Terengganu.
Kenaikan harga barangan keperluan harian seperti minyak, gula, beras dan tepung amat membebankan rakyat terutamanya golongan miskin.
Malahan jika dibuat perbandingan, sesetengah barangan keperluan harian termasuk ikan dan ayam jauh lebih murah di Kuala Lumpur berbanding dengan di Terengganu.
Negeri yang dianggap negeri kaya tetapi rata-rata dilihat rakyat hidup dalam paras kemiskinan dengan kehidupan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Isu tanah di Kuala Terengganu juga menjadi perbualan semua pihak. Kini satu demi satu tanah dan perkampungan Melayu terhakis dek kerana kerakusan ’pembangunan’ dan tiada perancangan rapi yang dibuat.
Lebih malang lagi perkampungan tradisi Melayu satu persatu ’hilang’, dari Kampung Paya Keladi, Kampung Tanjung serta Kampung Ladang yang terus meletakkan orang-orang Melayu Terengganu ’ibarat menjadi pelarian di bumi sendiri’.

Di bawah pentadbiran Ahmad Said, projek-projek membazir seperti Monsoon Cup, Kawasan Bebas Cukai di Tasik Kenyir dan Mini Zoo Bukit Tekal, Kemaman yang tidak banyak memberi manfaat kepada kehidupan harian rakyat Terengganu diteruskan.
Begitu juga dengan projek mega yang gagal seperti isu runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang bernilai lebih RM300 juta, kegagalan Taman Ilmu di Besut yang bernilai lebih RM200 juta dan kelewatan projek lebuhraya LPT 2 yang benilai lebih RM5 bilion yang juga dikaitkan dengan salah urus dan rasuah.
Namun apakah semua faktor ini sudah cukup untuk merubah selera pengundi Terengganu untuk melakukan perubahan dalam PRU 13 akan datang?
Apakah tren dan aliran nasional yang mahukan perubahan besar dalam PRU akan datang juga akan dituruti oleh pengundi-pengundi di Terengganu?
Bagi saya, rakyat kini amat arif dengan isu-isu yang di hadapi di negeri ‘penyu bertelur’ ini. Yang penting perubahan mesti berlaku. PAS mempunyai potensi besar untuk merampas kembali Terengganu dan menggantikan Umno.
Yang penting, kepimpinan PAS mesti keluar dari ‘kepumpung sendiri’ untuk menyebar-luaskan maklumat dan penerangan. Sentimen ‘politik kekitaan yang sempit’ mesti diketepikan dan tumpuan bukan sahaja harus diberikan dikalangan ahli-ahli dan penyokong PAS, tetapi semua lapisan masyarakat Terengganu khususnya golongan remaja dan mereka yang tidak berparti.
Ya, inilah juga realiti yang sedang menjadi luahan ramai kalangan warga Terengganu kini. Perubahan hanya akan berlaku sekiranya rakyat bersedia melakukan revolusi besar dalam PRU ke 13 ini.
Seluruh warga Terengganu yang sayangkan ‘negeri cantik budaya menarik’ ini mesti berusaha keras supaya perubahan besar dapat dilakukan.
Tiada pilihan melainkan rakyat Terengganu menolak secara ‘total’ Umno/BN pada pilihanraya umum ke-13 akan datang ini…