Kerajaan Rakyat pilihan ku — Anuar Mohd Nor
March 30, 2013
30 MAC — Semakin berderau dalam saat-saat terakhir menjelang PRU 13 yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.
Masa spesifik masih belum ada tetapi putaran pemerintahan kerajaan BN semakin tamat dan mandat baru diperlukan untuk memerintah.
Bahang dalam sirkulasi politik sudah terasa. Semua sedang menanti — menyediakan serangan terakhir dalam memastikan rakyat menyokong mereka — parti yang bertanding.
Calon-calon sepatutnya sudah siap — sudah sedia untuk memakai jersi bagi memulakan pertandingan.
Semua sedang menyimpan peluru terakhir dalam berdepan dengan pesta demokrasi yang tidak lagi semudah dulu bagi Umno.
Adakah pertempuran kali ini akan menyaksikan satu pertempuran yang sengit — lebih sengit dari PRU 12 malah akan menyaksikan – reputasi BN tercalar habis?
Ini sudah menjadi sesuatu yang dijajakan bukan oleh orang lain tetapi oleh kepimpinan BN sendiri.
Mereka sendiri dalam kenyataan — kenyataan mereka mengatakan PRU 13 adalah PRU yang paling hebat dalam pertempuran.
PRU 13 kali ini adalah pertandingan antara dua peneraju NAJIB – ANWAR IBRAHIM.
Anwar Ibrahim sendiri sudah melalui dan menerajui pertempuran dengan 3 Perdana Menteri sebelum ini — Tun Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kali Datuk Seri Najib.
Secara kasar walaupun Pakatan yang diterajui oleh Anwar Ibrahim tewas dalam usaha membentuk kerajaan dengan Tun Mahathir dan Tun Abdullah namun kehadiran pembangkang semakin kuat tidak dapat dinafikan khususnya dalam pertempuran kali ini dengan Datuk Najib.
Najib sebenarnya sedang berdepan dengan jentera yang sudah bertembung dengan 2 Perdana Menteri sebelum ini.
Najib baru sekali dengan jeneral perangnya — menerajui perang demokrasi ini.
Adakah jeneral-jeneral baru Najib ini akan berjaya membuat perubahan dari sudut kedudukan BN dalam mentadbir negara ini.
Adakah mereka sebenarnya sudah cukup pengalaman dalam mengetuai perang dengan Pakatan Rakyat yang hari ini mahu tidak mahu merupakan pencabar kuat.
Pakatan Rakyat dalam kenyataan mereka akhir-akhir ini amat yakin akan membentuk kerajaan dan mengambil alih Putrajaya dari Barisan Nasional.
Keyakinan mereka semakin menebal.
BN dalam saat terakhir menuju PRU 13, BN sedang melunaskan semua janji mereka khususnya dalam memulangkan hasil yang dikutip oleh negara kepada rakyat.
Ini jelas dilakukan dan usaha ini mahu tidak mahu dijadikan alasan kenapa perlu rakyat menerima dan mengembalikan mandat kepada kerajaan BN.
Sebaliknya Pakatan Rakyat — menggariskan janji terbaru mereka dalam usaha untuk membuat perubahan dan menggesa rakyat untuk memilih mereka.
Masing-masing dengan manifesto mereka dan rakyat perlu bijak untuk memilih.
Apa pun Malaysia akan berdepan dengan PRU 13.
Semua perlu melakukan tanggungjawab dalam memilih kerajaan yang paling layak dan paling rapat dengan rakyat — akhirnya kerajaan yang mewakili rakyat dan bukan menjadi tuan pada rakyat.