NOTIS POL 170A KE POL 257 - POLIS HANYA MAHU KOMPAUN.
Hari ini 30/11/2017 saya hadir di Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur untuk perbicaraan 5 kes Notis Pol 170A yang ditukar ke Pol 257.
Notis Pol 170A ialah Permintaan Butir-Butir Pemandu di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ianya bukan saman. Notis Pol 170A ini selalunya dikeluarkan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi kesalahan memandu melebihi hadlaju yang ditetapkan. Pengeluaran Notis Pol 170A ini adalah selepas operasi perangkap hadlaju atau lebih dikenali di kalangan masyarakat sebagai operasi speed trap. Notis Pol170A ini pula dikenali sebagai "Saman Ekor".
Baru-baru ini sehingga hari ini dan mungkin akan berlarutan ke masa depan, pihak PDRM giat menahan pengguna jalanraya dan memeriksa samada mempunyai "saman tertunggak". "Saman tertunggak" ini sebenarnya Notis Pol170A.
Apabila ditahan, pemandu akan dimaklumkan bahawa mengikut rekod PDRM, pemandu mempunyai "saman tertunggak" yang perlu dijelaskan. Jika pemandu memaklumkan tidak pernah menerima saman, dengan serta merta pegawai polis berkaitan akan keluarkan Pol 257 iaitu SAMAN supaya pemandu hadir ke Mahkamah.
Ramai mengalami situasi ini. Ada yang terus membayar kompaun kerana tidak mahu susah payah turun naik Mahkamah. Paling tinggi usaha mereka untuk lawan saman-saman tersebut ialah tulis di facebook dan merungut. Akhirnya bayar juga kompaun.
Hari ini, saya hadir ke Mahkamah mewakili seorang sahabat yang dikenakan lebih 30 saman Pol 257 yang ditukar dari Pol 170A. Di Mahkamah hari ini, 5 saman ditetapkan untuk bicara.
Apabila kes dipanggil, pihak pendakwaan (Polis) memaklumkan kepada Mahkamah bahawa saksi tidak hadir kerana sepina tidak diserahkan.
Saya mohon Mahkamah melepaskan dan membebaskan OKS kerana pihak pendakwaan seolah-olah tidak berminat untuk mengendalikan perbicaraan. Sepina disediakan tetapi tidak diserahkan kepada saksi polis, maka saksi tidak hadir.
Mahkamah membenarkan permohonan saya dengan melepaskan tanpa membebaskan OKS.
Apa kesimpulannya daripada kes hari ini?
Kesimpulannya ialah pihak polis tidak pernah bersedia untuk perbicaraan bagi kes-kes begini. Apa alasannya? Macam-macam. Mungkin kerana tiada bukti dan sebagainya.
Bagi pihak Polis, lebih baik mereka mendesak agar pengguna yang menerima saman Pol 257 yang ditukar dari Pol 170A ini bayar kompaun. Selesai. Mudah.
Ya, yang mudah itu mereka tapi mereka tidak fikir bahawa pengguna yang terpaksa mencari duit untuk bayar kompaun bagi kesalahan yang belum dan tidak dibuktikan.
Prinsipnya ialah "seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah". Buktikan pengguna bersalah. Jangan sewenang-wenang menggunakan peraturan dan undang-undang tanpa melalui proses sebenar.
Kepada semua di luar sana. Jangan hanya merungut. Pertahankan hak anda. Jika anda sendiri tidak berani dan tidak mahu bersusah payah mempertahankan hak sendiri. Teruskan merungut. Merungut akan mengubah nasib anda.
ZULHAZMI SHARIFF.
30112017