Oleh IZWAN ABDUL HALIM
GUAR CHEMPEDAK: Majlis Guru Pondok Negeri Kedah akan turut menggerakkan peranannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan membantu menjelaskan isu-isu yang berbangkit dan mengeluarkan poster khas berkaitan.
Pengerusinya, Tuan Guru Mohd Rejab Md Akhir berkata, usaha itu sebagai bukti bahawa para pendidik sekolah agama rakyat dan tuan guru pondok di seluruh Kedah bersatu menyatakan sokongan penuh pada pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dalam usaha kempen untuk menghadapi PRU13.
Tegasnya, pihak beliau sepakat berdiri teguh dan menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.
Pada pertemuan yang dihadiri 66 Mudir, Guru Besar dan Pengetua sekolah agama di bawah gabungan Hal Ehwal Sekolah Agama (Hesa) Kedah itu, mereka turut membincangkan perjalanan gerakerja pembinaan Kompleks Pentadbiran Hesa dan Pasti Kedah.
Kompleks yang bakal menjadi sebagai pusat kegiatan dan aktiviti untuk pelajar dan guru-guru Hesa dan Pasti Kedah itu akan memulakan pembinaannya pada April ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam setahun.