Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Jalan ke syurga berduri-duri, jalan ke neraka penuh dengan keju dan roti

$
0
0
oleh Aspan Alias

Perubahan, itulah istilah besar yang selalu dilaungkan oleh rakyat. Rakyat benar-benar mahukan perubahan sejajar dengan kehendak masa dan zamannya. Seorang Islam memerlukan perubahan kerana Islam itu sendiri menyarankan yang umatnya mesti hidup berlandaskan kepada waktu dan zamannya. Begitu jugalah agama-agama lain. Semuanya berkehendakan kepada perubahan.

Jika di zaman Rasulullah SAW dahulu dalam peperangan menegakkan agama, tentera Islam atau pun tentera musuh menggunakan tombak dan pedang dalam peperangan, sekarang Islam mahukan kerajaan untuk menyediakan peralatan tentera dan senjatanya dari jenis yang canggih kerana perubahan waktu dan zaman itu. Perubahan itu juga merupakan gerakan dan ‘af’al’ Tuhan Maha Esa. Kita memerlukan kapal selam dalam era moden ini, tetapi yang bertentangan dalam melakukan perubahan itu, berlaku pula penyelewengan khazanah rakyat yang berbillion-billion ringgitnya.

Perubahan itu adalah dalam semua bidang kehidupan manusia mengikut kehendak manusia setempat kerana setiap kaum dan puak yang di wujudkan Tuhan itu adalah untuk kita bersama-sama mengenali di antara satu dengan lain untuk kelangsungan usaha bekerjasama serta menghormati di antara sesama puak dan kaum yang berbagai itu.


Di negara kita telah ditentukan oleh Tuhan yang kita berada dalam sebuah negara majmuk dan berbagai-bagai kepercayaan dan cara hidup. Dalam ‘diversity’ yang begitu banyak, maka usaha membentuk masyarakat yang harmonis itu adalah dugaan kepada semua untuk melaksanakan tuntutan Tuhan untuk kita hidup bersama dalam keadaan aman dan damai, menghormati manusia yang berlainan cara hidup dan kepercayaan serta warna kulit itu.

Jika ada usaha untuk memecah-belahkan kaum-kaum yang diwujudkan Tuhan, tentulah ia merupakan tindakan yang memerangi kehendak dan suruhan Tuhan itu. Di sinilah letaknya dugaan kita dan inilah isu yang perlu menjadi perhitungan dalam semua tindakan kita dalam menghidupkan sebuah negara yang aman dan damai itu. Negara kita bukan tidak melalui insiden-insiden hitam itu, tetapi berkat dan izin Tuhan juga kita telah memperbetulkan keadaan dengan membentuk sebuah kerajaan yang ditadbir bersama di antara semua kaum di negara ini.

Dulu kita keluarkan slogan ‘muhibbah’ dengan matlamat rakyat bersatu-padu hidup bersama dengan aman damai. Malahan kita telah menjadikan matlamat ‘national unity’ itu sebagai matlamat kita yang ‘ultimate’. Negara boleh menjadi negara kaya raya tetapi jika rakyat hidup dalam keadaan memusuhi di antara satu dengan lain kekayaan itu tidak memberi makna kepada negara.

Apabila ‘national unity’ itu menjadi kenyataan, maka mudah bagi sesiapa atau jemaah yang memerintah untuk menumpukan perhatian terhadap pembangunan bidang kehidupan yang lain. Maka perubahan yang dituntut Tuhan itu mesti perubahan yang memperbaiki keadaan perhubungan di antara manusia yang berbeza--beza itu merupakan isu yang terutama. Apabila seseorang pemimpin atau kumpulan itu berjaya menyatu-padukan perbezaan di antara manusia yang berbeza-beza itu, ia merupakan kejayaan memenuhi tuntutan agama dan Tuhan itu. Maka berbahgialah mereka dalam kehidupan selagi Perpaduan dan Muhibbah itu dapat diamalkan dan dijaga dengan penuh tanggungjawab.

Sesuatu yang telah berjaya kita perolehi itu pula bukannya mudah untuk dikekalkan kerana dugaannya akan bertambah besar akan kita hadapi. Dalam kehidupan insan, kita akan sentiasa didekati oleh hasutan dan bisikan khatir untuk melakukan perkara yang boleh menjahanamkan apa yang tersedia berjaya kita perolehi itu. Syaitan dan iblis itu sentiasa bekerja sepenuh masa untuk membuatkan umat berpecah-belah dan itu adalah sumpah iblis kepada Tuhan.

Iblis dan syaitan itu tidak akan berhenti dari melakukan kerja yang menjadi sumpahannya itu. Dalam situasi begini kita sedang berhadapan dengan dua fenomena yang berbeza samasekali. Satu sudut kita dituntut untuk melakukan kebaikan dan bersatu-padu sesama manusia itu dan sudut yang lagi satu ialah tuntutan iblis dan syaitan untuk kita berkelahi dan berpecah di antara kita.

Syaitan sentiasa mahukan umat Muhammad untuk bersatu bersamanya bagi melakukan segala kemungkaran secara bersama dan masing-masing dalam kumpulan itu akan bekerjasama melakukannya dan saling menolong di antara satu dengan lain. Jika ada usaha pihak yang benar untuk mengajak untuk melakukan kebaikan, mereka akan bertahan habis-habisan dan itu membolehkan keadaan yang kucar-kacir berlaku dalam masyarakat atau rakyat sesebuah negara dan jajahan itu.

Oleh itu kita sedar sekarang perjuangan umat ialah untuk bersatu dibawah panji-panji kebenaran dan usaha ini akan tetap mendapat tentangan hebat dari puak yang bersekongkol dengan iblis dan syaitan itu tadi. Mereka tetap mempertahankan kemahuan mereka (iblis) untuk terus menyesatkan umat dan jika ada tanda-tanda perubahan terhadap umat untuk melakukan kebaikan, mereka akan mempertahankan kumpulan mereka habis-habisan.

Di sini berlakulah pertembungan di antara kumpulan yang mencari kehendak Tuhan yang bersih dengan pihak yang masih mahu berada dalam kekufuran yang berpanjangan. Mereka yang berada dalam keseronokan berada dipihak yang kufur tadi amat susah untuk keluar dari kehidupan yang penuh dengan keseronokan yang tidak di redhai Tuhan itu.

Terpulanglah kepada semua pihak dan individu untuk memilihnya. Tetapi satu perkara yang wajib kita terima ialah, untuk melakukan kebaikan akan berhadapan dengan dugaan besar yang tidak terperi peritnya. Dalam perjalanan ke syurga itu akan berlaku pengorbanan dan pihak yang terkorban dan itu adalah perkara biasa dalam menuju kepada kebaikan tuntutan Tuhan itu.

Bak kata setengah ulamak yang muktabar. ‘jalan ke syurga itu dipenuhi dengan onak dan duri sedangkan jalan ke neraka itu dipenuhi dengan keju dan roti’.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Trending Articles