TI-M kata kerajaan sementara BN langgar ikrar intregiti
Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR, 18 April — Kerajaan sementara Barisan Nasional (BN) telah melanggar Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International yang ditandangani, kata agensi tersebut hari ini dan menggesa ia dihentikan segera.
Transparency International Malaysia (TI-M) berkata Datuk Seri Najib Razak telah mengabaikan salah satu janji dalam ikrar tersebut iaitu tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dalam sebarang amalan rasuah.
“Walau bagaimanapun, parti-parti politik dan calon-calon mereka telah melanggar prinsip-prinsip pilihan raya yang adil kerana memberi wang, hadiah, baucer dan membuat semua jenis janji-janji seperti bantuan berterusan, pinjaman, kenaikan gaji, bonus, rumah murah, air percuma, dan lain-lain,” kata Setiausaha Agung Josie M Fernandez dalam satu kenyataan hari ini.
“Wang yang digunakan oleh parti-parti politik dan calon-calon untuk memenangi undi bukan satu rahsia lagi,” tambahnya.
TI-M mendedahkan beberapa pengumuman yang dibuat oleh Najib yang melanggar ikrar integriti yang ditandatangani, antaranya pengumuman perluasan pemberian kad diskaun, Kad Privilege 1Malaysia kepada 725,000 pesara perkhidmatan awam pada 8 April lalu dan juga mengumumkan pembinaan kompleks RM400 juta di Perak pada 9 April lalu.
Walaupun pihak pembangkang tidak menandatangani ikrar tersebut, TI-M juga menggesa mereka mematuhi etika dan peraturan sedia ada yang digariskan ke atas kerajaan sementara sama ada pusat ataupun negeri.
“Pihak pembangkang tidak menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya tetapi mereka juga mesti bertanggungjawab untuk memastikan prinsip integriti dan ketelusan dalam kempen pilihan raya mereka,” ujarnya lagi.
Malahan hari ini, Irene berkata Najib sekali lagi melanggar ikrarnya apabila memberitahu penjawat awam supaya membantunya untuk memenangi Pilihan Raya 2013 sebaik melancarkan projek perumahan mampu milik ekslusif untuk warga Putrajaya.
“Kerajaan sementara dan calon-calon telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 10 dimana ia menyatakan semua ini adalah hadiah, pinjaman, tawaran, janji, pengumuman untuk mendapatkan undi.
“Tindakan sedemikian bertentangan dengan komitmen Perdana Menteri sementara untuk menegakkan prinsip-prinsip integriti dan ketelusan dalam PRU13 ini,” tambahnya.
Pada 20 Februari lalu, Najib menandatangani ikrar oleh TI-M, serta membuat perisytiharan terbuka untuk mendukung integriti dan memperteguh komitmen beliau terhadap agenda negara dalam memerangi rasuah terutamanya dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Ikrar tersebut merupakan kontrak sosial secara sukarela, dengan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum, berikrar untuk menggalakkan integriti, tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan dan mendukung kedaulatan undang-undang.
Selain kerajaan sementara BN, badan bukan kerajaan Bersih 2.0 pada 11 April lalu juga mengeluarkan laporan daripada jawatankuasa khas tentang perlanggaran etika kerajaan sementara negeri pembangkang dimana mereka mendakwa kerajaan negeri Selangor telah membuat dua kesalahan iaitu dengan memberi bonus RM300 pada 3 April dan juga memberi geran tanah kepada tiga penduduk kampung di Bestari Jaya pada 7 April tetapi dinafikannya.
Pilihan Raya 2013 yang dijangkan paling sengit dalam sejarah negara sejak pilihan raya pertama mula diadakan di Malaysia.
Ahli politik daripada gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) dan pembangkang PR bertarung merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada Pilihan Raya 2013.
Hampir 13.3 juta pengundi, termasuk yang menetap di luar negara layak untuk membuang undi bagi menentukan siapa yang berkuasa di Putrajaya selepas Pilihan Raya 2013 pada 5 Mei nanti.