Oleh Azamin Amin
PERANG antara kem Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Dato’ Mukhriz Mahathir dengan kem Pengerusinya, Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah sudah tidak dapat dibendung lagi.Cubaan Mukhriz untuk merampas kedudukan supaya diangkat sebagai bakal MB Kedah jika BN menang dari Ahmad Bashah Md Hanipah nampaknya semakin mencolok mata.
Banyak program besar di Kedah yang dianjurkan Mukhriz tanpa kehadiran Ahmad Bashah malah adakalanya secara berdepan menikam antara satu sama lain seperti yang berlaku di program penyerahan sumbangan anjuran MCA Kedah untuk persatuan-persatuan Cina Kedah.
MCA Kedah menjadikan Mukhriz sebagai tetamu utama dan ditulis di belakang sepanduk sedangkan Ahmad Bashah selaku Pengerusi BN Kedah hadir sama.
Dengan ‘kuku’ yang ada Tun Dr Mahathir Mohamad cuba menggunakan pengaruh terhadap Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk melantik Mukhriz sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Kedah dan berusaha untuk menyingkirkan Ahmad Bashah sebagai calon di Dun Bakar Bata.
Menurut sumber, sloganslogan sinis sudah mula dilemparkan kem Mukhriz kepada kem Ahmad Bashah seperti “tidak cerdik” dan “tidak sekolah tinggi”.
Mukhriz juga dikatakan telah menggunakan semua NGO Melayu di Kedah seperti Perkasa dan Pekida untuk dapatkan sokongan termasuk para pegawai kerajaan negeri (KCS).
16 Mac lalu, kem Mukhriz telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Anak Kedah di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur yang menyasarkan 5,000 anak Kedah yang hadir dengan mengundang bapanya Dr Mahathir beserta ramai pemimpin Umno Kedah tetapi tidak dihadiri oleh Ahmad Bashah.
Malangnya himpunan itu hanya dihadiri kira-kira 200 orang sahaja. Walaupun hadiah cabutan bertuahnya sebuah Peugeot 205, tidak ramai anakanak Kedah yang hadir.
Pada hari yang sama, puluhan ribu hadir di program ‘Bongkar penyelewengan BN Kedah RM403 juta’ di tengah pekan Alor Setar.
Kata seorang Veteran Umno Kedah, Mahathir juga telah mengadakan perjumpaan tertutup dengan semua veteran Umno di salah sebuah hotel bagi meraih sokongan terhadap anaknya.
“Tapi ada masalah. Ramai veteran tak setuju. Depa elit, orang kampung tak suka. Harta berjuta-juta dan anak dia semua kaya raya.
“Anak Mahathir ada saham syarikat arak dan Mukhriz pun tak bersih, payah orang nak sokong dia. Patutnya Mahathir diam dan bersaralah, tak payah kempen-kempen lagi,” katanya
Tindakan Mukhriz membelakangi bosnya mengundang kemarahan kem Ahmad Bashah yang melabelkan beliau sebagai biadab kepada Bashah yang sudah lama menjadi wakil rakyat dan lebih kerap turun padang daripada Mukhriz yang berada di Pusat.
Terbaru di persimpangan jalan Batas Paip, Kuala Kedah satu kain rentang telah dipasang dipercayai oleh penyokong kem Bashah yang memberi isyarat jelas tidak mahu Mukhriz memporak-peranda BN dan Umno Kedah.
Sepanduk itu mahu Mukhriz dikekalkan sabagai calon Parlimen sekali gus memadamkan impiannya untuk menjadi MB Kedah jika BN menang.
Perang antara kedua kem inilah menjadi penyebab mengapa Najib masih bertangguh untuk mengumumkan calon-calon BN Kedah untuk PRU13.
Apa pun keputusan Najib nanti, masih mengundang perang yang tak berkesudahan antara yang lama berkhidmat dan lama berjuang dengan yang baru muncul yang belum pasti jasa mereka kepada parti.