29 April 2013

ALOR SETAR - Borang bagi tapak perniagaan bazar Ramadan di sekitar kawasan bandaraya Alor Setar akan dijual mulai 7 Mei ini.
Borang-borang berharga RM6 setiap satu boleh dibeli di pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini.
Datuk Bandar MBAS Datuk Mat Noh Ahmad berkata borang dijual kepada warganegara berumur 18 tahun dan ke atas yang beralamat di kawasan MBAS sahaja.
"Tarikh serahan kembali borang yang sudah siap diisi oleh pemohon dan cabutan undi dinyatakan di dalam borang itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mat Noh berkata pihak MBAS hanya menyediakan borang pemohonan tapak bazar mengikut jumlah tapak yang telah dikenal pasti.
"Jumlah keseluruhan tapak untuk bazar ramadan ialah 1,602 tapak, 1,364 tapak untuk tapak juadah berbuka puasa dan untuk tapak pakaian/hiasan ialah 238.
Orang ramai yang ingin mendapatkan lebih maklumat mengenainya boleh melayari laman web MBAS," katanya. - Bernama