
ALOR SETAR – Masalah kebocoran tangki dan paip air di Flat Tongkang Yard, di sini dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum perayaan Tahun Baru Cina pada tahun hadapan apabila projek pemasangan paip dan gantian tangki air berkenaan siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, YB. Mohamad Nasir Mustafa berkata, projek tersebut melibatkan sebanyak 210 unit rumah yang mengalami kerosakan setelah didiami lebih 20 tahun lamanya.
“Kita akan cuba gunakan semua saluran yang ada untuk bantu penduduk di sini tanpa mengira fahaman politik. Kita dah ambil kira semua masalah penduduk di sini, cuma statusnya sekarang adalah sudah selesai atau belum masalah tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa meninjau masalah penduduk di sini bersama Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Perumahan Negeri Kedah, baru-baru ini.
Menurutnya, akhir-akhir ini pihaknya telah pun menyelesaikan satu masalah penduduk di sini yang merungut mengenai tangki najis yang tersumbat, bau busuk dan sebagainya.
“Masalah itu telah pun kita selesaikan bersama Indah Water. Sekarang ini pula kita akan cuba membantu menyelesaikan masalah kebocoran paip air dan kerosakan tangki,” katanya.
YB. Nasir memberitahu, segala kos pembaikan dan gantian akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kedah yang melibatkan perbelanjaan sehingga RM300,000.
“Kita akan cuba selesaikan masalah ini secepat mungkin dan disusuli dengan masalah-masalah lain yang kita lihat patut dan perlu diperbaiki,” jelasnya.