Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Tiada yang menang, tiada yang kalah. Perpaduan perlu menyusur

$
0
0
Oleh Aspan Alias

Malam tadi saya berceramah di Bukit Gelugor bersama Pengerusi DAP Karpal Singh dan sambutan seperti biasa amat menggalakkan dan terlihat denyutan nadi ramai untuk berubah itu lebih jelas. Ceramah itu diadakan di Taman Tun Sardon dan telah dihadiri oleh ribuan rakyat berbilang kaum.

Pada keseluruhannya Pulau Pinang amat susah untuk ditembusi oleh BN walaupun BN telah melakukan apa yang mereka boleh lakukan untuk kembali berkuku di negeri itu.

Saya merasakan keseluruhannya Pakatan Rakyat mungkin dapat lebih sedikit kerusi daripada BN apabila semua undi rakyat dikira pada 5hb Mei yang akan datang ini.

Ada setengah pihak meramalkan yang BN pula akan menerima kemenangan kecil dan mereka membuat andaian masing-masing mengikut keyakinan masing-masing. Begitulah keadaannya sekarang dan tidak ada siapa yang benar-benar tahu apa keputusan sebenarnya sehinggalah kita saksikan pada tengah malam 5hb ini.


Apa yang saya hendak sebut dalam posting ini, mana-mana pihak yang akan memenangi pilihanraya kali ini wajar memenanginya dengan kemenangan besar, kerana jika kemenangan tipis berlaku tidak ada pihak mampu menubuhkan satu kerajaan yang stabil dan kukuh. Mana-mana pihak pun tidak boleh mendabik dada mengakui rakyat menyebelahi mereka.

Kita telah melihat apa yang berlaku sekarang ini di mana BN telah gagal untuk mendapatkan kemenangan yang sebenarnya kerana telah dinafikan kemenangan dua per tiga itu dalam pilihanraya yang lalu (2008). Kelemahan sokongan itulah yang melanjutkan permasalahan politik negara sehingga kini BN terpaksa berhempas pulas mempertahankan arus perubahan seterusnya dari pihak pembangkang.

Kemenangan Pakatan Rakyat dalam empat buah negeri telah memberikan asas yang kuat bagi Pakatan Rakyat mendapatkan sokongan tambahan bagi melengkapkan kejayaan yang telah dicapai dalam pilihanraya yang lalu.

Sekarang kedudukan begitu seimbang dan selalu saya sebut yang akan tewas ialah pihak yang melakukan kesilapan perhitungan bukannya kerana kekurangan sokongan. Mengikut ‘survey’ dari UMR Research dari Sydney, Australia, BN sedang mendapat sokongan sebanyak 49% dan Pakatan pula mendapat 48% setakat semalam. Hanya 3% sahaja undi yang masih terawang-awang. Ia bermakna BN hanya memerlukan 2% untuk mendapatkan kemenangan tipis dan Pakatan Rakyat perlu 3% sokongan tambahan untuk memenangi pilihanraya kali ini.

Ke mana pun arah sokongan 3% lagi undi di awang-awangan ini ia akan tetap membuahkan sebuah kerajaan yang tidak kuat. ‘Consequence’ sangat besar terhadap taraf kestabilan yang akan dialami oleh pihak mana yang memenangi pilihanraya ini. Jika kita berada di dalam sebuah kerajaan ‘minority’ seperti ini, tidak ada sesuatu yang boleh menjamin masa depan yang cemerlang bagi negara kita.

Hanya yang boleh dipelajari dari keadaan ini ialah menunjukkan bukti bahawa rakyatlah yang sebenarnya berkuasa dan BN sepatutnya memahami kehendak rakyat yang sebenarnya sejak dari dahulu lagi.

Tetapi tiada mana mana pihak tidak akan merasakan kebaikan jika tidak melalui keburukan dan keserikan. Situasi ini hanya mampu diselesaikan dengan menubuhkan sebuah kerajaan yang dinamakan kerajaan perpaduan (unity government) dalam mana semua pihak boleh bersatu setelah berseteru sebelum pilihanraya itu.

Mungkin itulah perubahan yang terhasil dari gerakan pembaharuan yang rakyat sedang lakukan ini. Mungkin yang dirancang itu untuk matlamat yang berbeza tetapi keadaan memaksa semua pihak untuk bersatu dan meninggalkan segala perbalahan itu jauh ke belakang.

Keadaan ini bukannya tidak pernah berlaku sebelum ini. BN itu sendiri tercetus daripada perpecahan yang berlaku pada tahun 1969 dahulu. BN telah membawa semua pihak berselindung di bawah BN dalam mana sebanyak 13 parti yang berpecah-pecah telah disatukan di bawah BN itu termasuk parti Gerakan yang semasa itu adalah sebuah parti pembangkang yang menguasai kerajaan Pulau Pinang. Hanya DAP sahaja tertinggal di luar BN dan nyata ia telah memberikan kestabilan selama hampir empat puluh tahun.

Jika tidak kerana budaya yang menyongsangkan nilai dan semangat BN itu oleh Dr Mahathir dahulu, mungkin keadaan seperti ini tidak akan wujud dan rakyat masih bersatu padu seperti BN dahulu.

Yang pasti tidak ada pihak yang akan memenangi pilihanraya ini secara mutlak. Maka adalah menjadi kewajipan semua pihak untuk melakukan pembaharuan dengan semua pihak bersatu di antara satu pihak dengan pihak yang lain, ‘minus’ mereka yang korup dan rasuah serta menjadikan tiada penyalahgunaan kuasa sebagai budaya kepimpinan mereka.

Berikan kepercayaan kepada seorang yang benar-benar mampu melakukan pelan penyatuan ini kerana untuk melakukannya ia terpaksa dikendalikan oleh seorang yang berwibawa dan berpengalaman.

Ia tidak boleh diberikan kepada mana-mana pimpinan yang sedang berperang maut dalam pilihanraya ini. Penyelesaian untuk jangka panjang wajar diwujudkan. Kita mahukan kehidupan di dalam sebuah negara yang aman dan damai jauh daripada perkelahian dan pergaduhan sesama kita.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707