Persediaan Perhimpunan Rakyat di Dataran PJ
Wartawan Malaysiakini 4:29PM Mei 25 2013
Selepas berlangsungnya lapan siri perhimpunan Blackout 505 di seluruh negara, kini perhimpunan kesembilan dan terakhir yang digelar 'Perhimpunan Suara Rakyat 505' - akan berlangsung di Petaling Jaya jam 5 petang ini.
Perhimpunan, di mana NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) adalah antara penganjur utamanya, diadakan untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya dan salahlaku dalam pilihan raya umum baru-baru ini.
Pihak berkuasa menyiasat atau medakwa mereka yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan Blackout 505 di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA), kerana didakwa gagal memberi notis 10 hari kepada pihak polis.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dilaporkan berkata perhimpunan hari ini merupakan "satu tindakan provokasi" dan tidak mengikut peruntukan di bawah APA.
Perhimpunan sebelum ini telah menarik puluhan ribu orang -yang terbesar diadakan di stadium Kelana Jaya beberapa kilometer dari tempat perhimpunan hari ini. Kira-kira 120,000 orang membanjiri perhimpunan pada 8 Mei itu - sama ada di luar atau di dalam stadium yang penuh sesak.
Bagi perhimpunan hari ini - di Dataran Petaling Jaya - mempunyai kapasiti maksimum kira-kira 80,000. Jika mengambilkira perhimpunan sebelum ini, maka ia juga dijangka dibanjiri puluhan ribu hadirin.
LAPORAN LANGSUNG
4.30pm: Kelihatan beberapa trak FRU yang melalui jalan dekat padang Dataran PJ.
Bagaimanapun, tidak ada anggota polis dilihat berhampiran padang.
3.01pm: Kira-kira 100 orang kini berada di sekitar dataran tersebut, kebanyakannya berpakaian hitam dan mencari perlindungan dari pancaran panas matahari yang sekitar 33 darjah Celsius dengan yang terang.
Ada yang memilih untuk membeli-belah di Amcorp Mall yang berhawa dingin di seberang jalan, dengan berpakaian baju hitam perhimpunan Blackout 505.
Setakat ini tidak kelihatan kehadiran kehadiran polis dan penganjur masih sibuk menyediakan pentas, tetapi laluan kaki lima di padang itu dan berhampiran stesen LRT Taman Jaya sudah dipenuhi gerai menjual makanan dan barangan.
Walaupun notis mempromosi perhimpunan itu - yang diedarkan melalui media sosial - termasuk amaran "Vuvuzelas diharamkan", tetapi ia masih dapat didengar.
Beberapa penyokong juga telah berbaris di sepanjang jalan untuk melaungkan slogan politik, manakala pemandu yang lalu di situ turut membunyikan hon.
Lalulintas masih lancar di kawasan itu, tetapi jalan empat lorong di luar padang semakin sesak apabila lebih banyak kereta diletak di tepi jalan, memaksa trafik menggunakan hanya satu lorong di setiap arah.