Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail,
Tahniah syabas dan kepada kesemua Wakil Rakyat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen (AP) dan tidak kira mana-mana parti asalkan mereka ini disahkan sebagai Ahli Yang Berhormat yang dipilihkan dan diamanahkan oleh rakyat negara Malaysia yang tercinta ini. Jika bukan kerana ketokohan dan jasa mereka, mana mungkin rakyat memilih mereka untuk wakilkan bagi pihak mereka berjuang untuk kepentingan rakyat dan berani pula bersuara apabila berada di Dewan Undangan Negeri atau pun di Dewan Rakyat.
Masing-masing telah menerima watikah dan rakyat Malaysia sentiasa mengharap dan menunggu-nunggu sejauh mana mereka yang diamanahkan sebagai wakil kepada rakyat ini akan berjuang untuk kebaikan dan kebajikan rakyat keseluruhannya. Kita mahu lihat mereka yang dipilih ini banyakkan berkerja daripada banyaknya bercakap dan kita tidak mahu mereka ini hilang entah ke mana hingga jarang hadiri sidang Dewan Rakyat atau pun Dewan Undangan Negeri, malah jarang pula berada di pejabat untuk urusan bersabit dengan masalah rakyat kerana perkara ini sering menjadi rungutan kepada pengundi yang mengharapkan kepimpinan mereka ini dimasa-masa lalu.
Perlu ingat anda dipilih oleh rakyat untuk diamanahkan dan buangkan sikap aku ini 'Tuan' tetapi sematkan di minda bahawa rakyat itulah tuan yang sebenarnya dan apabila ada perubahan sebegitu barulah adanya kesefahaman dan hubungan antara wakil rakyat dengan rakyat. Buang sifat ego, bersederhanalah, jangan berlagak dengan kereta mewah masuk ke kampung dan apabila melawat pula hanya beberapa minit sahaja kemudian berlalu dari situ.
Para Yang Berhormat juga akan sentiasa diperhatikan oleh rakyat kerana rakyat pada zaman ini terdiri daripada bijak pandai dan berilmu. Bercakap biarlah jujur dan ikhlas serta apa juga penyelewangan dan salah laku walaupun sedikit bukan sahaja diperhatikan oleh rakyat biasa tetapi oleh parti lawan. Oleh yang demikian berhati-hatilah kerana menjadi wakil rakyat ini bukannya mudah kerana banyak dugaan dan rintangan perlu ditempuhi dan kadangkala kena fitnah pula.
Apabila anda diamanahkan bererti anda menjalankan kewajipan yang dituntut oleh agama dan oleh yang demikian turunlah kepadang selalu melihat sendiri apa juga permasalahan rakyat serta bermesralah dengan mereka dan buatlah apa yang termampu demi untuk kebaikan dan kebajikan penduduk. Kalau di England atau di Australia, Jepun, Korea serta di negara maju yang lain, pemimpin dan menteri tidak segan silu pergi tempat kerja mereka sekali sekala menaiki kenderaan awam saperti LRT ataupun bas dan berjalan kaki ditempat-tempat awam bertujuan melihat sendiri situasi di sekeliling mereka dan merasakannya sendiri apabila anda meletakkan diri anda sebagai orang biasa. Dari situlah anda memahami naluri dan menjiwai jiwa rakyat itu nanti.