Marah mat rempit, penduduk baling kelapa
WARTAWAN SINAR HARIAN 4 Jun 2013 KULIM - Penduduk yang tinggal bersebelahan dengan Lebuh Raya Butterworth Kulim Ekspress (BKE) meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan serius terhadap permasalahan mat rempit sering terlibat kegiatan lumba haram terutama pada hujung minggu.
Tinjauan mendapati lebih 100 motosikal di lebuh raya itu pada masa tertentu dan ada antaranya menunggang secara berbahaya.
Pemandu bas pekerja, Norizal Saad berkata, penunggang motosikal bimbang ditahan polis turut melawan arus untuk melepaskan diri.
Menurutnya, perbuatan mereka itu mengundang kemalangan apabila dia mendapat maklumat lebih enam kemalangan melibatkan penunggang motosikal maut setelah bertembung.
“Sebagai pemandu bas pekerja, kita turut bimbang keselamatan mereka. Perlakuan mereka menunggang motosikal secara merbahaya boleh akibatkan kemalangan. Saya mencadangkan polis mengadakan operasi besar-besaran selain membuat pemantauan secara berterusan.
"Masalah ini tidak akan diselesaikan selagi tindakan tegas tidak diambil terhadap mereka,” katanya.
Penduduk Taman Mewah, Mohd Rashid Harun berkata, sekiranya masalah lumba haram di lebuh raya BKE tidak dibanteras dengan seberapa segera, penduduk yang tinggal di taman berdekatan lebuh raya ini tidak dapat tidur lena kerana diganggu bunyi bising hasil aktiviti mat rempit.
Selain bising, ada kalangan penduduk taman dan kampung yang mengambil tindakan membaling objek seperti batu dan buah kelapa di atas lebuh raya.
Menurutnya, ini dapat dilihat apabila beberapa kelapa tua kelihatan berada di tengah jalan.
“Pihak berkuasa harus mengambil tindakan segera. Penduduk di sepanjang lebuh raya BKE terganggu dengan aktiviti lumba haram. Saya tentu akan marah apabila rumah yang saya beli diganggu dengan bunyi bising pada malam minggu.
"Pihak tersebut harus ingat penduduk di kawasan ini membeli rumah ratusan ribu ringgit bukan untuk diganggu dengan bunyi ekzos motosikal mat rempit yang bising.
Untuk mengatasi masalah itu, pihak berkuasa harus melaksanakan tanggungjawab cegah kegiatan lumba haram ini dengan seberapa segera kerana penduduk sudah mula hilang sabar,” katanya.