Bekas pengurus PPK dijel 7 tahun, 4 sebatan, denda RM380,000
ALOR SETAR 13 Jun - Seorang bekas pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sanglang dihukum penjara tujuh tahun, sebatan empat kali dan denda RM380,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan kes memalsukan dokumen dan tiga kes pecah amanah.
Hakim Mohd. Rosli Osman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Faizal Azmi Bazir (gambar), 36, dari Alor Janggus di sini setelah tertuduh mengaku bersalah ke atas kesemua pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Faizal didakwa memalsukan dokumen berkaitan kerja-kerja membina gelanggang boling dan lot meletak kereta di Institut Aminuddin Baki (IAB), Jitra membabitkan kos berjumlah RM44,600.
Mohd. Faizal dituduh melakukan perbuatan itu pada 1 Mac 2011 di Bangunan Menara Peladang di sini dengan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu mengenai kerja tersebut kepada seorang ejen yang juga pengurus PPK Jitra, Shahrul Said yang tidak pernah ditawarkan oleh IAB.
Sementara bagi pertuduhan kedua, Mohd. Faizal didakwa melakukan kesalahan sama bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan blok sabitan dan bilik rawatan Penjara Alor Setar berjumlah RM24,700 dengan mengelirukan Shahrol pada tarikh dan tempat sama.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Mohd. Rosli menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM250,000 bagi pertuduhan pertama dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara empat tahun serta denda RM130,000.
Kedua-dua hukuman penjara diperintah berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum. Hukuman penjara boleh ditambah setahun lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd. Faizal didakwa melakukan pecah amanah dengan menunaikan cek bernilai RM3,718 di atas nama Che Muda Man di Maybank Bhd. Cawangan Kodiang pada 22 Mac 2012.
Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan sama dengan menunaikan cek bernilai RM26,998 atas nama Abu Hassan Jamal di bank sama pada 5 April 2012.
Dalam pertuduhan kelima, Mohd. Faizal didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM2,000 ke atas wang panjar runcit PPK tersebut bagi tujuan pembelian komputer sedangkan tiada sebarang pembelian dibuat.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat PPK Kawasan B-11 Sanglang, Kubang Pasu pada 29 Mei 2012.
Ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan denda serta sebatan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dari tarikh jatuh hukum dan sebatan satu kali bagi pertuduhan ketiga manakala bagi pertuduhan keempat, Mohd. Faizal dihukum penjara tiga tahun serta sebatan dua kali.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan keempat berkuat kuasa selepas tertuduh menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua.
Mohd. Faizal juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan sebatan sekali bagi pertuduhan kelima berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi dan Syahrul Khuzaini Amiruddin sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.