oleh Syed Abdullah Jamalullail ,
Sudah sampai masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan laluan kepada peneraju baru terutama sekali Pegawai-Pegawai Kanan yang tidak relevan lagi mereka ini berada dalam badan induk itu. Hal ini kerana berbagai-bagai kritikan dan rasa tidak senang dalam kalangan kepimpinan di peringkat negeri termasuk juga antara mereka yang dipecat tanpa sebab yang munasabah.
Ketidakpuasan hati bukan sahaja daripada kalangan pemimpin di peringkat negeri tetapi juga peminat setia bola sepak yang selama ini begitu sabar dan setia kepada persatuan. Adalah wajar FAM dirombak agar dapat dikembalikan kegemilangan sebagaimana zaman 70-an dulu. Ketika itu pasukan kita dapat mengalahkan Korea Selatan ataupun Jepun.
Saya mencadangkan supaya pihak Persatuan Bola Sepak Negeri-Negeri meminta supaya FAM mengadakan Mesyuarat Agung tergempar untuk memilih semula AJK yang baru yang berpotensi dan benar-benar komited boleh menerajui FAM.
Hal ini kerana selama 40 tahun kita sudah ketinggalan jauh kebelakang dan menjadi bahan ketawa apabila negara kita ditempat ke-158 dalam senarai bola sepak dunia. Sekiranya kita tidak berubah, jangan hendak mimpilah kita untuk dapatkan tempat sama ada diperingkat Piala Dunia ataupun Olimpik kerana diperingkat Piala Asia pun kita tidak dapat melayakkan diri lagi sejak 40 tahun yang lalu lagi.
Berilah peluang kepada gandingan baru yang mampu untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara. Sudah sampai masa dan ketikanya FAM mendapat mandat yang baru sebelum terlambat.