Ada alasan lagi?
Oleh SELENA TAY
KINI setelah Pakatan Rakyat menunda perhimpunan KL Black 505 Rally dari 15 Jun ke 22 Jun maka sepatutnya tiada alasan lagi daripada pihak berkuasa untuk tidak membenarkan perhimpunan tersebut.
Jika alasan demi alasan diberi bahawa lokasi terbabit iaitu Padang Merbok ada acara dan sebagainya, tidakkah ini menunjukkan bahawa kerajaan BN masih belum bersedia lagi untuk memberi lebih ruang demokrasi kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka?
Adakah ini juga menunjukkan hasrat kerajaan untuk mengekang suara Pakatan Rakyat yang bersama rakyat ingin menyatakan bahawa mereka tidak puas hati dengan keputusan pilihanraya umum yang lalu?
Umum berpendapat bahawa perhimpunan KL Black 505 Rally harus dibiarkan berjalan tanpa halangan kerana kerajaan BN selalu menguar-uarkan bahawa kemenangan mereka telah diperolehi dengan cara yang adil, bersih dan telus.
Justeru, apa lagi yang perlu ditakutkan oleh kerajaan BN? Biarkanlah perhimpunan tersebut diteruskan tanpa apa-apa halangan lagi pada 22 Jun nanti jika kerajaan BN ingin menunjukkan kepada pemimpin lain di dunia bahawa negara Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang tulen.