Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Jerebu - 9 negeri tahap bahaya

$
0
0
IPU 9 negeri tahap bahaya
Oleh ROZIANAH RISMAN


KUALA LUMPUR 23 Jun - Keadaan jerebu yang bertambah tebal di kawasan kebakaran di Wilayah Riau Sumatera Tengah, Indonesia menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di sembilan negeri berada pada tahap bahaya dan tidak sihat.

Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawangnya, tiga kawasan merekodkan IPU pada tahap berbahaya dengan daerah Muar berada pada tahap bacaan tertinggi 507 diikuti Bukit Rambai (443) dan Bandar Melaka (373) setakat pukul 5 petang.

Selain itu, 16 kawasan merekodkan IPU tidak sihat di seluruh negara dengan tiga daripadanya di Negeri Sembilan iaitu Nilai (137), Port Dickson (276) dan Seremban (103).

Di ibu negara dan Selangor turut mencatatkan IPU tidak sihat melibatkan kawasan di Banting (133), Kuala Selangor (112), Pelabuhan Klang (214), Petaling Jaya (151), Shah Alam (130), Batu Muda (140) dan Cheras (134).

Semenatara itu, agensi itu dalam satu kenyataan memberitahu, peningkatan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dan berbahaya dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan berikutan musim Monsun Barat Daya dan dijangka berterusan hingga September ini.

Berikutan itu, Majlis Keselamatan mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan Jerebu mengikut tahap amaran dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Pelan itu melibatkan peranan pelbagai agensi seperti Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat.

Perintah Larangan Pembakaran Terbuka di bawah Seksyen 29AAA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 ke atas pembakaran terbuka di Selangor, Melaka dan Johor yang dikeluarkan pada Rabu lalu masih berkuat kuasa.

Bagaimanapun, beberapa aktiviti seperti pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan dan gril/barbeku yang tidak dilakukan di kawasan tanah gambut dikecualikan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel dijangka mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya di Jakarta, Indonesia pada Rabu ini bagi membincangkan bentuk kerjasama dalam usaha menangani masalah jerebu merentasi sempadan.

Malaysia juga akan terus menggesa Indonesia untuk meratifikasikan Perjanjian ASEAN tentang Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan yang telah diwujudkan sejak 2002 serta meningkatkan keberkesanan tindakan di peringkat tempatan menerusi Pelan Tindakan Indonesia.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca panas dan kering.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130624/dn_05/IPU-9-negeri-tahap-bahaya#ixzz2X9Anwjb0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707