Lim: M'sia juga harus hukum syarikat 'pengkhianat'
11:46AM Jun 24 2013

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, bukan hanya Indonesia, malah Malaysia juga harus menghukum syarikat perladangan negara ini yang dibuktikan terlibat dalam aktiviti mencerahkan hutan di Sumatera yang mengakibatkan jerebu.
Mengulas dakwaan Indonesia bahawa terdapat lapan syarikat milik rakyat Malaysia terlibat dengan aktiviti pencerahan hutan secara salah, Lim menganggapnya sebagai "pengkhianatan" jika benar.
"Kerajaan Malaysia mesti menghantar pasukan penyiasatnya sendiri untuk memeriksa dakwaan terbabit, dan menghukum mana-mana syarikat Malaysia jika benar mereka terlibat," katanya.
Dalam kenyataannya hari ini, Lim juga menggesa kerajaan menyiasat dakwaan bahawa Sime Darby Plantations Bhd terlibat dalam aktiviti itu walaupun penafian mereka sudah dikeluarkan.
"Namun begitu dakwaan serius terhadap Sime Darby mesti disiasat secara terperinci memandangkan Sime Darby adalah sebuah syarikat GLC (berkaitan kerajaan) yang dimiliki kerajaan Malaysia.
"Tuduhan serius ini boleh merosakkan reputasi antarabangsa Sime Darby dan juga Malaysia," katanya merujuk dakwaan penglibatan sebuah anak syarikat Sime Darby di Indonesia.
Sime Darby Plantation kelmarin menegaskan tiada kebakaran di kawasan operasi syarikat itu di Indonesia, dan telah mematuhi sepenuhnya dasar sifar pembakaran dalam operasinya.
"Laporan semasa mengenai titik panas di Riau adalah termasuk dalam kawasan konsesi PT Tunggal Mitra Plantation's (PT MTP)(anak syarikat PT Minamas Gemilang, satu daripada syarikatnya)," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama dalam kenyataan tiga perenggan.
Menurutnya keseluruhan kawasan konsesi PT MTP ialah 13,836 hektar, dan jumlah kawasan yang ditanam ialah 10,825 hektar dengan 537 hektar terdiri daripada kawasan tapak semaian dan pembangunan dengan bangunan-bangunan, tapak semaian, jalan raya dan jambatan.
"2,474 hektar dihuni penduduk setempat. PT MTP tidak mampu mengawal aktiviti yang dilakukan di luar kawasan operasinya dan di tempat yang dihuni pihak-pihak lain," menurut kenyataan itu lagi.