Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Apabila dikatakan BN berjerebu... namun PR juga berjerebu...!!!

$
0
0

Tidak ada yang tidak berjerebu, semuanya berjerebu


Jerebu semakin hari semakin menebal. Walaupun berkurangan di selatan tanah air tetapi ia menebal di Kuala Lumpur dan Selangor. Bacaan API ialah diantara bahaya kepada amat merbahaya. Pengalaman jerebu 1997 dahulu sangat menyakitkan kehidupan kita. Sekarang keadaan itu berulang dan semua tahu sebab ia berlaku.

Dari tingkap rumah saya semalam sehingga pagi tadi masih lagi nampak dengan jelas bangunana Hotel Summit yang jauhnya hanya empat ratus meter sahaja dari rumah saya. Tetapi sewaktu saya menulis ini bangunan Hotel itu sudah diliputi sepenuhnya oleh jerebu itu. Saya tidak pandai menilai tahap jerebu secara saintifik. Saya hanya melihat bangunan Hotel Summit itu sahaja. Jika bangunan Hotel itu tidak kelihatan lagi ia bermakna jerebu semakin serius.

Tahun ini sememangnya kita tahu berjerebu. Suasana semuanya penuh dengan jerebu. Keadaan udara kita berjerebu, entah bilakan selesai. Politik juga berjerebu. Semuanya berjerebu. Himpunan 505 juga berjerebu. Pentadbiran kerajaan berjerebu dan parti-parti politik juga dihinggapi jerebu dengan dahsyatnya.

Akhirnya pemikiran rakyat sendiri berjerebu dan sudah tidak nampak arah yang mereka perlu lalui. Mengikut BN itu adalah melalui jerebu. Hendak ikut Pakatan Rakyat pun berjerebu juga.

Kalau kita pandang dan lihat jauh kehadapan apa pelan pembaharuan oleh BN kita sudah hendak melihatnya kerana terlalu berjerebu dihadapannya. Tidak nampak dengan jelas apa pembaharuan yang akan dilakukan oleh BN. Dihadapannya terlalu tebal jerebu yang menyelubungi dan kita tidak nampak dengan jelas apa akhirnya program pembaharuan yang bakal dilakukan oleh BN itu.

Di sebelah Pakatan Rakyat pula tidak kurang jerebu yang menyelubunginya. Anwar sendiri, menuduh ada suara-suara UMNO di dalam Pakatan Rakyat. Jerebu dipihak ini juga sangat tinggi tahapnya. Sekarang perjuangannya tertumpu kepada tuntutan mereka supaya SPR meletakkan jawatan. Tidak tahu dimana letaknya perjuangan asalnya. Jika asyik dengan demonstrasi dan himpunan, semakin tebal nampaknya jerebu dihadapan mereka dan sudah tidak lagi jelas apa yang diperjuangkan mereka. Sampai bila himpunan ini diadakan tidak siapa yang mengetahuinya.

Perjuangan melalui demonstrasi telah jelas menambah kekacauan kepada negara. Di Mesir himpunan jalanan negara itu telah menjatuhkan kerajaan Mesir pimpinan Mubarak, tetapi hasilnya sampai kehari ini negara itu masih tidak selesai masalah mereka. Akhirnya Mesir telah menghadapi krisis ekonomi yang sangat getir dan nilai wangya berbanding dengan matawang antarabangsa telah menjunam lebih dari seratus peratus. Begitu juga dinegara-negara lain di Timur Tengah itu. Jerebu politik melanda semua negara-negara terbabit.

Itu sebabnya saya selalu memberikan pandangan yang berlainan. Saya lebih yakin ada cara lain yang boleh melakukan perubahan itu. Ia hanya boleh dilakukan oleh pemimpin Melayu  yang boleh diterima oleh semua bangsa. Bagi saya sememangnya jelas kedua-dua pihak wajar berhenti berkelahi dan menerima hakikat perubahan itu perlu dilakukan oleh orang lain dan yang berkelahi itu bersama-samalah memberikan sokongan itu kepada orang yang akan melaksanakan pembaharuan itu.

Selagi ego dan kesombongan pimpinan masing-masing masih besar, selagi itulah pembaharuan tidak akan tercapai. Kalau ada pun perubahan itu, perubahan itu hanyalah perubahan kepada keadaan yang lebih buruk lagi.

Jerebu politik bukan sahaja berlaku diluar bahkan ia berlaku lebih teruk lagi di dalam Dewan-Dewan Legislatif. Jerebu politik ini tidak boleh dihindar dengan memakai 'mask' dimuka tetapi  ia hanya boleh menggunakan kejujuran jiwa dan ketelusan terhadap rakyat dan negara. 

Itulah sebabnya kita mahu dan mimpikan ada orang yang boleh menghilangkan jerebu ini, untuk menghilangkan jerebu yang ada di dalam kerajaan serta kementerian dan jabatan yang berjerebu itu.

Tetapi hakikatnya bagi setengah pemimpin lagi berjerebu politik itu lagi mudah mereka untuk menggunakan keadaan itu untuk kepentingannya.

Usaha ramai ahli-ahli legislatif persekutuan dari Malaysia Timur dan Semenanjung yang dengarnya sedang berlaku perlu diberi sokongan kerana usaha pihak ini memungkinkan jerebu politik tanah air akan dapat di turunkan.

Rakyat ternanti-nanti waktu mereka boleh menarik nafas dengan lega tanpa jerebu serta tanpa bersusuh payah memakai topeng. Kita sudah jemu banyak pihak tidak jujur dan memakai topeng yang melindungi keadaan sebenar mereka.

Kita tidak mahu lagi mendengar ada pihak yang melaungkan perjuangan 'multiracial' tetapi disebalik topeng itu mereka adalah rasis, serasis-rasisnya. Ada yang bertopengkan isu moral tetapi pemimpin mereka tidak terlepas dari isu moral yang sudah menjadi 'stigma' kekal dalam politik tanah air kita.

Selagi isu jerebu politik ini tidak selesai selagi itulah orang ramai akan hidup dalam  'deception' sentiasa.

Nukilan : Aspan Alias

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707