Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

YSB mantapkan program tuisyen percuma

$
0
0

ALOR SETAR 28 Jun - Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) akan memberi penekanan terhadap usaha memantapkan Projek Titian Bestari (PTB) yang dilaksanakan organisasi amal itu sejak 1999 untuk memartabatkan pendidikan khususnya di luar bandar.

Pengerusi YSB, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata, sebanyak RM1.2 juta diperlukan setiap tahun untuk melaksanakan projek tersebut yang memberi tuisyen dan buku latihan percuma kepada 2,880 murid sekolah rendah kurang berkemampuan di kawasan luar bandar di negeri ini.

Menurutnya, sejak 14 tahun dilaksanakan, yayasan berkenaan telah membelanjakan sebanyak RM8.852 juta bagi membantu murid-murid berkenaan.

"Program PTB ini terbukti memberi impak positif dalam membantu pencapaian akademik mereka. Peluang pendidikan lebih baik ini telah membantu meningkatkan tahap sosioekonomi keluarga mereka," katanya dalam perutusan buku cenderamata Karnival Amal Hari Penyayang 2013.


Karnival selama tiga hari sehingga esok yang berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman itu dirasmikan oleh Tunku Puteri Intan Safinaz hari ini.

Penganjuran karnival tersebut antaranya bertujuan mengumpul dana tabung kewangan YSB selain berperanan sebagai platform untuk mendekatkan rakyat kepada aktiviti sukarela, kemasyarakatan dan hiburan yang sesuai seisi keluarga.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun dijangka berkenan mencemar duli bagi menghadiri karnival itu esok.

Tunku Puteri Intan Safinaz yakin dengan usaha penambahbaikan dan pemantapan projek itu dapat membantu usaha kerajaan bagi membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar dalam jangka masa panjang.

Berikutan itu, beliau berharap semua pihak terus memberi sokongan kepada YSB untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan menjadi agen perubahan terhadap kerja-kerja kebajikan di negeri ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Karnival Amal Hari Penyayang 2013, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, bertemakan berhibur sambil menderma, pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang karnival tersebut seperti larian bendang, kayuhan basikal amal dan kempen menderma darah.

Selain itu katanya, diadakan juga bazar makanan, bazar kebajikan, kafe penyayang, pertandingan seni suara burung dan ayam serama, jualan amal ais kepal, pertandingan futsal serta pemeriksaan kesihatan.

"Kira-kira 6,000 peserta dijangka menyertai acara larian bendang esok dan rakyat negeri ini dijemput sama-sama memeriahkannya. Setiap sen yang diterima akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi pelaksanaan program-program berfaedah kepada penduduk yang memerlukan bantuan," katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707