Pertingkat promosi slogan baharu Kedah
Oleh ABD RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my
SUNGAI PETANI 1 Julai - Jabatan Penerangan Kedah akan membanyakkan program mempromosi penggunaan slogan baharu 'Kedah Aman Makmur' bagi membolehkan seluruh penduduk negeri ini mengetahui intipati dasar yang dibawa kerajaan.
Pengarahnya, Dr. Haniff Hassan berkata, tanpa berbuat demikian, pihak-pihak tertentu akan terus membuat pelbagai andaian tidak berasas tentang maksud slogan terbabit.
"Sebelum maklumat itu dijelaskan kepada masyarakat, kakitangan Jabatan Penerangan sendiri perlu prihatin terlebih dahulu tentang perkara itu. Sehubungan itu, kita akan melatih kakitangan untuk memahami perkara ini dan seterusnya mengadakan pelbagai program untuk mempromosi slogan baharu kerajaan negeri Kedah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Analisis Pilihan Raya Umum Ke-13 dan Perancangan Gerak Saraf Perang Saraf Peringkat Negeri Kedah dekat sini semalam.
Sebanyak 40 peserta mengikuti kursus selama tiga hari itu.
Haniff berkata, pihaknya sedia membuat apa sahaja yang terbaik agar slogan diperkenalkan oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir itu dapat mencapai sasarannya.
"Semua pihak perlu buka minda jika ingin kepada perubahan dan imej kerajaan negeri menjadi lebih terserlah, jika semua pihak memahami slogan itu," katanya.
Beliau menegaskan, selain kakitangan jabatan, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik perlu diberi kefahaman secara lebih jelas tentang perkara tersebut.
"Sebagai kakitangan kerajaan, kita sendiri perlu memberikan kerjasama terhadap setiap program yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130702/wu_03/Pertingkat-promosi-slogan-baharu-Kedah#ixzz2Xzmnz3ji
© Utusan Melayu (M) Bhd