oleh Zulkifli Yahaya
Kisah Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang kononnya dirundung pelbagai masalah sewaktu pentadbiran Pakatan dahulu disensasikan habis-habisan oleh media Umno dalam usaha memburukkan imej kerajaan negeri.
Kalangan rakyat yang terpengaruh dengan propaganda negatif itu merasa 'lega' kerana akhirnya Pakatan tumbang di Kedah, tentulah apabila Umno kembali berkuasa semuanya akan pulih semula. Rupanya harapan menggunung yang diberikan sebahagian rakyat sia-sia sahaja kerana Umno dapat Insaniah ibarat kera dapat bunga. Keadaan jadi lebih celaru.
Tiba-tiba kakitangan Insaniah Holdings serta anak-anak syarikatnya yang menjadi cabang perniagaan KUIN mengamuk kerana tidak dibayar sesen pun gaji selepas Umno mengambilalih Kedah. Staf Insaniah Holdings adalah terdiri dari manusia biasa, tiada seorang pun malaikat atau robot yang tidak bekehendak kepada makan minum atau lain-lain keperluan kemanusiaan. Mereka ada keluarga untuk disara dan anak-anak untuk disekolahkan. Semuanya perlukan wang namun hak mereka itu disekat oleh kerajaan negeri.
Insaniah Holdings Sdn. Bhd. ditubuhkan dengan keputusan oleh Ahli Lembaga Pengarah Insaniah yang dipengerusikan oleh Menteri Besar. Di bawah Insaniah Holdings terdapat Insan Maya, Insan Faseh, Insan System, Insan Medic, Insan Hospitality dan Insan Bestari. KUIN mengadakan perjanjian dengan anak-anak syarikat Insan Holdings, antaranya bersetuju menyediakan modal kerja, melalui pemberian pendahuluan dari masa kesemasa penggajian, sewaan, ulititi dan operasi.
Insaniah Holdings adalah anak syarikat di bawah KUIN, ia didaftarkan perniagaan oleh KUIN dan perakuan menjalankan program pengajian oleh KUIN. Stafnya adalah juga staf di bawah seliaan KUIN. Mengapa tiba-tiba ada pihak 'wayar putus' dari KUIN membuat kenyataan bahawa Insaniah Holdings tiada kena mengena dengan KUIN?
Semua yuran pengajian pelajar dibayar kepada Bendahari KUIN bukan kepada Insaniah Holdings sekalipun anak-anak syarikat yang menguruskan pengajian. Mengapa pihak tersebut boleh mencabar anak syarikat Insaniah Holdings membayar sendiri gaji stafnya yang seramai 302 orang itu?
Insaniah Holdings ditubuhkan pada 2009 di bawah kepimpinan Dr. Jamil Osman selaku rektor. Anak-anak syarikat yang ditubuhkan di bawahnya bertujuan untuk menjana pendapatan KUIN, supaya IPT milik kerajaan negeri ini tidak mengharapkan bajet negeri semata-mata untuk menggerakkan KUIN. Apa yang diharapkan tidak menjadi apabila akhirnya Insaniah Holdings menjadi bebanan kepada KUIN. Di situlah bermulanya polemik dan pertikaian.
Kos pengurusan untuk Insaniah Holdings terlalu tinggi, gaji para pemegang jawatannya dikatakan sangat lumayan hingga menyebabkan bajet negeri untuk KUIN terpaksa diguna menampung keperluan Insaniah Holdings. Maka pelbagai masalah timbul dalam KUIN sejak 2009, sebahagian besarnya berpunca dari isu kewangan.
Pihak yang tertekan dengan masalah kewangan di KUIN menyalahkan kewujudan Insaniah Holdings. Mereka berhujah tanpanya pun KUIN boleh beroperasi untuk menguruskan pengajian, maka lebih baik anak-anak syarikat tersebut ditutup sahaja.
Perbelanjaan paling besar adalah untuk operasi Insan Medic (program perubatan), sedangkan pelajarnya tidak ramai. Yuran pelajar langsung tidak dapat menampung kos. Secara peribadi saya bersetuju pandangan tersebut. Bidang pengajian perubatan adalah terlalu besar untuk dilibatkan oleh sebuah IPT milik kerajaan negeri. Biarlah kerajaan Pusat yang memikirkan hal tersebut kerana itu tanggungjawab mereka serta mereka ada kemampuan. KUIN patut ukur baju di badan sendiri pada masa itu. Dari segi politik pun, kerajaan tak akan dimarahi oleh rakyat hanya kerana tidak melaksanakan pengajian perubatan. Tapi rakyat akan marah kalau akibatnya, duit rakyat terpaksa dikorbankan untuk perkara yang bukan menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Apapun setiap perkara yang dilakukan manusia mesti ada pro dan kontranya. Boleh jadi kita tidak terfikir apa yang orang paling berkuasa dalam pentadbiran kerajaan pada masa itu fikirkan. Pihak pembangkang (BN) ketika itu tidak mampu untuk mengubah apa yang kerajaan putuskan.
Ditakdirkan Allah, kerajaan Kedah bertukar tangan. KUIN dan Insaniah Holdings keseluruhannya berada di bawah pentadbiran kerajaan yang memerintah kini. Mereka mewarisi dan bertanggungjawab terhadap apa yang ditinggalkan kerajaan terdahulu sama ada yang baik atau yang buruk. Jahil sungguh jika ada pemimpin kerajaan negeri yang berkata, KUIN milik kerajaan dan Insaniah Holdings milik Ustaz Azizan, tidak perlu fikirkan gaji untuk kakitangannya Insaniah Holdings.
Pandangan serta tindakan tersebut bukan setakat menampakkan kejahilan memahami tanggungjawab dalam mentadbir negeri tetapi juga zalim kerana menganiayai pekerja Insaniah Holdings yang tidak bersalah apa-apa dalam polemik pentadbiran. Kalau mereka ingin menutup Insaniah Holdings dan anak syarikatnya, tutuplah dengan mengikut prosedur dan perundangan dengan sewajarnya. Gaji yang berlalu wajib dibayar. Pampasan untuk pekerja mesti dilunaskan mengikut peraturan. Insaniah Holdings nampaknya jadi mangsa balas dendam politik, tapi orang yang mereka dera ialah kakitangan yang tiada kena mengena dengan pihak yang membuat keputusan dahulu.