Terbeban caj bank
PELANGGAN KECEWA
Johor.
SEMEMANGNYA seorang peniaga seperti saya memerlukan khidmat bank bagi memudahkan urusan keluar masuk kewangan dan penggunaan buku cek. Namun demikian, adalah tidak wajar sekiranya caj yang tidak munasabah dikenakan kepada saya bagi melakukan urusan-urusan yang berkaitan.
Sebagai contoh, sekiranya bukan penama yang disenaraikan di dalam pengeluaran cek membuat pengeluaran secara tunai, caj RM2.00 dikenakan pada setiap transaksi. Hal ini telah dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat dan telah dipersetujui agar caj tersebut dimansuhkan dengan arahan Bank Negara Malaysia (BNM).
Tetapi malangnya, tanpa pemantauan yang berterusan, caj tersebut kembali dilaksanakan oleh pihak bank. Untuk sekeping cek dikenakan caj RM2.00. Sekiranya transaksi seluruh negara untuk cek anggarannya sebanyak 50,000 keping sehari, akan memberikan keuntungan mudah RM100,000.00 sehari untuk bank. Jumlah ini cukup untuk membayar gaji hampir separuh pekerja bank tersebut.
Saya juga dikenakan caj yang tidak menasabah iaitu RM13.00 untuk mencetak penyata keluar masuk kewangan yang hanya menggunakan sehelai atau dua helai kertas A4.
Untuk pengesahan pula saya dikenakan caj RM50.00 untuk setiap sekali pengesahan. Sekiranya saya memerlukan lima set pengesahan sebulan, maka saya memerlukan RM250.00 untuk servis yang saya perlukan. Jadi, hal ini amat membebankan pihak saya, tetapi menguntungkan pihak yang menguasai servis tersebut.
Diharap pihak bertanggung jawab dapat memantau dan mengatasi masalah ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd